fbpx

25 Februari 2021, 4:18 pm

  TERKINI

Mangsa sumbang mahram, bersuaralah!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DULU, mungkin 10 tahun lalu, saya mengenali seorang remaja. Dia dianggap ‘anak bermasalah’ dalam keluarganya. Sebabnya, dia dituduh liar, suka tidur di rumah kawan-kawan dan sering lari dari rumah.Tanpa diketahui ibu bapanya yang dia sebenarnya menjadi mangsa pemuas nafsu abang kandungnya sendiri. Dia takut untuk bersuara akan hal itu. Walaupun saya dan beberapa lagi rakan mahu menemaninya ke balai polis. Akhirnya kami akur, apabila dia nekad keluar rumah terus dan berdikari. Walaupun ibu bapanya menganggap dia anak derhaka, di tidak mahu buka mulut.
Dalam usia belasan tahun, dia sudah bekerja dan gajinya digunakan untuk sambung belajar. Lepas dia masuk ke pusat pengajian tinggi saya sudah tidak dengar lagi beritanya. Tapi bagi saya dia punya semangat yang amat luar biasa!
Beberapa bulan lalu, saya terserempak dengannya. Dia sudah berumahtangga dan mempunyai anak. Tapi saya tak berani untuk bertanyakan apa jadi dengan abangnya itu. Melihat pada keceriaan wajahnya dan dia menunjukkan gambar anak perempuannya berusia tiga tahun bersama suaminya, saya rasa kisah silamnya tak perlulah saya cungkil. Keberaniannya keluar daripada malapetaka dalam hidupnya dan mengecapi kehidupan bahagia sekarang, itu saya cukup kagum.
Dan apabila saya berterusan membaca kes sumbang mahram, ia mengingatkan saya tentang dia. Sumbang mahram suatu jenayah keluarga yang tidak patut dimaafkan dan betul, pelakunya tidak layak lepas bebas di muka bumi ini.
Saya juga sentiasa membaca cerita-cerita yang dikongsi oleh seorang aktivis dalam media sosial, Syed Azmi Alhabshi bagaimana budak-budak dan remaja menjadi mangsa sumbang mahram. Ada ibu mangsa yang sudah membuat laporan polis tetapi kemudiannya berasa serba salah, mahu menarik semula laporan itu kerana keluarga mendesak agar ‘kasihan’ pada pelaku yang masih remaja (adik beradik) atau suami yang kononnya akan membuatkan keluarga itu terumbang-ambing kerana hilang tempat bergantung akibat di penjara.
Di sinilah isu besarnya, jika konsep melindungi pelaku ini dipakai, sampai mati pun mangsa akan terus diperlakukan begitu. Mangsa akan sentiasa hidup dalam ketakutan dan sengsara. Dan pelaku pula akan bebas dan menganggap perbuatan itu satu ‘hal keluarga’ sahaja.
Melindungi pelaku sumbang mahram juga boleh didakwa di bawah peruntukan undang-undang yang sama dengan pesalah jenayah seksual ini. Itu keluarga mangsa perlu tahu. Jangan bersubahat dengan perbuatan di luar kemanusiaan ini.
Kelmarin, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan memberitahu, sebanyak 259 kes sumbang mahram dilaporkan sepanjang tahun lalu manakala tahun sebelumnya 300 kes.
Pelakunya ialah bapa kandung, bapa tiri dan abang kandung. Kata polis, ada kes ibu memang tahu perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh suaminya dan kerana tidak mahu lelaki yang tidak layak menjadi bapa itu masuk penjara, dia lebih rela membiarkan anaknya menjadi mangsa.
Ini yang namanya, sayang tak bertempat. Pasal seorang lelaki, sanggup mempertaruhkan keselamatan dan kebahagiaan anak itu seumur hidupnya.
Ada kes yang ibu tidak mengetahui tetapi setelah anaknya akhirnya menceritakan sudah dirogol banyak kali baru oleh si bapa, baru si ibu sedar dan membuat laporan polis.
Tentu ada jalan keluar dalam setiap permasalahan. Sepatutnya seorang ibu akan bermati-matian melindungi anaknya walau terpaksa melawan dengan kudrat sendiri kerakusan suami.
Saya sentiasa menulis dalam kolum ini, tentang wanita punya pilihan untuk keluar dari hal-hal yang merosakkan kehidupannya. Sama ada membiarkan diri larut dalam derita yang dalam atau berani keluar kerana diri tidak sepatutnya diperlakukan begitu. Itu pilihannya.
Mangsa sumbang mahram, mengadulah, bersuaralah, ada ibu, cikgu dan kawan-kawan yang pasti membantu. Hidup ini bukan hanya tentang ketakutan. Janji Allah tidak begitu. Akan ada kesenangan selepas kesusahan jika ada usaha keluar daripadanya. – Ahad dah ke?

BERITA BERKAITAN