Oleh : Khairul Azhar Idris
Sehingga ke hari ini, sudah hampir setahun pandemik Covid-19 melanda dunia dan melumpuhkan hampir semua aktiviti berkaitan kemanusiaan dan kehidupan. Negara bakal menerima bekalan vaksin virus itu menjelang tahun ini. Sepanjang tahun 2020 itu, banyak perkara yang telah manusia pelajari berkaitan dengan pandemik tersebut.
Walau apa pun, semua peristiwa berlaku adalah ujian kepada seluruh umat manusia. Kepada umat Islam, mereka dituntut untuk terus bermuhasabah diri dan bertaubat serta berdoa, berfikir dan terus berusaha mencari kaedah terbaik untuk menghadapinya, bagi membuktikan bahawa Islam itu terus berada di atas dan bukannya di bawah. Allah berfirman di dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak mereka merasakan sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Pada peringkat permulaan wabak ini, kita telah mempelajari cara dan kaedah untuk menghalang penularannya. Kaedah ini sebenarnya amat dekat dengan diri dan tingkah laku setiap individu daripada kalangan kita, tetapi amat sukar untuk dilaksanakan melainkan jika ada dorongan dan daya motivasi yang tinggi serta memerlukan kerjasama teguh semua pihak. Bermula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seterusnya melibatkan penjarakan sosial dan fizikal yang lebih cenderung menggunakan pendekatan psikososial dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang tersendiri. Kaedah tersebut berjaya sepenuhnya menghalang jangkitan meluas virus itu.
Namun malangnya apabila keberkesanannya tidak dapat bertahan lama kerana kealpaan dan kerakusan sikap individu yang mengabaikan segala SOP yang ditetapkan. Akibatnya, negara memasuki fasa jangkitan gelombang kedua seterusnya sehinggalah ke hari ini.
Kes jangkitan harian di Malaysia akan terus meningkat sehingga 5,000 kes sehari bermula 25 Februari ini sebagaimana diunjurkan oleh Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan Amerika Syarikat (IHME). Besar kemungkinan, kes terkumpul negara akan melepasi jumlah 100,000 pada 2021. Bagi meredakan gejala ini daripada terus berjangkit, kita disarankan agar terus berada di rumah, atau bekerja dari rumah dan tidak bercampur secara bebas dalam kesesakan komuniti. Memandangkan virus sudah sedia ada di merata tempat yang dijangkiti, adalah lebih elok sekiranya kita tidak mencampuri kelompok masyarakat atau berurusan di tempat tersebut bagi mengelak jangkitan.
Selain itu, kita juga belajar tentang etika norma baharu sebagai satu tindak balas proaktif. Norma baharu ini ialah prosedur dan tindakan tertentu yang perlu dilakukan bagi mengekang jangkitan virus tersebut daripada terus merebak seperti penjarakan sosial dan fizikal, memakai pelitup muka dan amalan kebersihan diri yang tinggi. Ia turut melibatkan keputusan seperti bekerja dari rumah dan penggunaan aktiviti dan kegiatan dalam talian secara sepenuhnya. Besar kemungkinan juga, ujian swab pantas bagi mengesan kehadiran virus ini pula akan berterusan menjadi satu amalan standard bagi setiap prosedur perubatan dan kesihatan selepas ini nanti.
BEKERJA DARI RUMAH
Bekerja dari rumah pula akan terus menjadi pilihan standard sepanjang tempoh ini dan tidak dilihat sebagai satu peluang bagi melemparkan tuduhan nakal seperti makan gaji buta kerana inilah norma baharu yang perlu diikuti, melainkan kaedah ini terus diperbaiki dengan lebih produktif. Ini kerana mekanisme bagaimana satu-satu pekerjaan itu dilaksanakan turut berubah dan tidak seperti dahulu lagi. Malahan, sejumlah besar kes jangkitan pandemik pada ketika ini turut berpunca daripada kluster tempat kerja yang tidak mengendahkan langsung prosedur norma baharu yang cuba diterapkan.
Amalan norma baharu yang perlu dilaksanakan pada ketika ini besar kemungkinan akan terus dilaksanakan buat selama-lamanya selepas ini kerana virus tersebut telah pun berada bersama kita. Apa yang diharapkan daripada komuniti ialah perubahan sikap dan persepsi berkaitan norma baharu dengan menerima hakikat bahawa banyak perkara telah berubah dan tidak seperti dahulu lagi. Inilah perubahan yang perlu dilakukan dan diterima dengan berlapang dada serta bersedia menerimanya dari segi mental dan emosi kerana sebaliknya ia akan memberi kesan buruk kepada kesihatan fizikal sendiri.
Banyak lagi perkara yang perlu dipelajari daripada pandemik yang berlaku ini, termasuklah kesesuaian diri kita untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, khususnya isu berkaitan tahap keselamatan dan fatwa berkaitan dengannya. Walaupun vaksin telah ditemui, masih belum masanya lagi untuk kita mengucapkan selamat jalan kepada Covid-19., Langkah terbaik kita sekarang ialah untuk terus mengamalkan kebersihan diri, penjarakan sosial dan fizikal serta terus kekal duduk di rumah bagi mengelakkan jangkitan.
PENULIS ialah Felow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










