Usah bergantung pintu sempadan - Utusan Malaysia

Usah bergantung pintu sempadan

Majlis Bandaraya Johor Bahru akan melaksanakan beberapa projek pengindahan sempena pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura bermula 1 April ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUANI MUNIR

SEBELUM pintu sempadan Tambak Johor dan Laluan Kedua yang menghubungkan Malaysia dan Singapura ditutup, aktiviti keluar-masuk rakyat kedua-dua negara memberi kesan besar kepada sektor ekonomi domestik terutama di bandar raya Johor Bahru.

Bagaimanapun, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, kerajaan memutuskan menutup semua pintu sempadan termasuk laluan menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Akibatnya, laluan Tambak Johor sepanjang 1,056 meter yang kebiasaanya sesak dengan pergerakan kira-kira 300,000 rakyat Malaysia sehari untuk bekerja di republik itu kini sepi. Malah keadaan tersebut memberi kesan kepada statistik pengangguran kerana ada pekerja kita terpaksa diberhentikan kerana tidak boleh lagi memasuki Singapura untuk bekerja dalam tempoh agak panjang.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang berlangsung baru-baru ini dimaklumkan, kadar pengangguran dianggarkan 173,000 orang dengan angka itu dijangka bertambah. Ia berdasarkan ramalan pakar ekonomi Singapura bahawa komuniti perniagaan republik berkenaan akan mengecilkan operasi. Di samping itu, pendapatan sektor perniagaan termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) dilihat terjejas kira-kira 50 peratus memandangkan mereka sebelum ini bergantung kepada rakyat Singapura yang mengunjungi Johor Bahru pada setiap hujung minggu untuk membeli-belah.

Meskipun kerajaan telah membuka sempadan untuk fasa pertama menerusi inisiatif Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), namun ia hanya melibatkan jumlah yang kecil.

Ini kerana PCA membenarkan kemasukan sehingga 2,000 orang sehari, manakala RGL 400 orang seminggu.

Ekoran itu, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad sebelum ini berkali-kali memohon Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar Pusat dapat membenarkan pembukaan sempadan untuk fasa seterusnya, iaitu melibatkan pergerakan harian pekerja kedua-dua negara.

Namun sehingga kini, tiada kata putus dibuat terhadap permohonan tersebut walaupun ia perlu disegerakan demi kebaikan semua pihak terutama kepada rakyat Johor.

Pembukaan sempadan adalah wajar kerana ia melibatkan kepentingan sektor ekonomi dan kehidupan rakyat tetapi perlu diseimbangkan dengan aspek kesihatan awam.

Bagaimanapun, Johor tidak boleh hanya bergantung kepada pembukaan sempadan. Mereka perlu mencari peluang lain untuk merancakkan semula ekonomi negeri dengan melihat potensi sedia ada khususnya di daerah utara yang kaya dengan produk pertanian. Begitu juga sektor pelancongan di daerah timur Johor seperti Mersing dan Kota Tinggi.

Jika tiada usaha lanjut untuk melihat peluang lain dibuat, kemungkinan pemulihan ekonomi Johor akan bergerak perlahan walaupun pakar ekonomi menjangkakan ia bakal pulih pada awal 2021.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×