Tegas tangani pencemaran sungai - Utusan Malaysia

Tegas tangani pencemaran sungai

PENDUDUK sangat marah kerana terpaksa bersusah payah mencari sumber air bersih. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENGULAS isu kira-kira lima juta pengguna hidup dalam kekalutan berikutan gangguan bekalan air yang berlaku secara tiba-tiba di tujuh daerah sekitar Lembah Klang, awal bulan ini.

Sebenarnya, gangguan bekalan air secara mengejut akibat pencemaran sisa industri di Sungai Selangor bukan kali pertama berlaku, malah sebelum ini banyak kali terjadi sehingga membangkitkan kemarahan rakyat yang terpaksa bersusah payah mencari sumber air bersih.

Oleh itu, saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya yang terbaharu melibatkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melakukan operasi lebih agresif bagi merobohkan kilang-kilang haram yang dibina di pinggir sungai.

Dalam kes pencemaran terbaru yang melibatkan bengkel menyelenggara mesin dan jentera di Rawang, saya difahamkan tanah itu dimiliki secara sah dan tidak diceroboh. Persoalannya kenapa bengkel yang pemiliknya pernah didenda RM60,000 pada Mac lalu kerana kesalahan sama terus dibenarkan beroperasi?

MPS dan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak juga perlu memastikan bengkel dan kilang yang berpotensi mencemarkan air tidak dibina berhampiran sungai. Pihak berkuasa harus serius untuk memindahkan kilang terbabit ke tempat lain.

Selagi semua itu tidak dibuat, kita terpaksa menyerahkan kepada takdir dan banyak-banyaklah berdoa supaya kilang terbabit tidak mencemar sungai.

Saya juga berharap pihak berkuasa mengkaji teknologi paling pantas untuk membersih pencemaran kerana kaedah sekarang dengan mengepam air mentah ke dalam sungai agak lambat.

Minyak, bahan pelarut dan racun serangga boleh dibersihkan dengan bahan kimia lain, yang tidak berbahaya sekiranya digunakan dalam kuantiti kecil, seperti hidrogen peroksida dan potassium permanganate.

Kaji juga kaedah air stripping iaitu menggunakan udara untuk membuang bahan kimia dari dalam air.

PROFESOR TUA
Gombak, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.