
ISU anak muda sering dibicarakan, dipolemikkan dan dibahaskan, tidak kiralah di Parlimen mahupun kedai kopi. Ketika berdepan cabaran pandemik Covid-19, apakah sifat dan karakteristik yang perlu ada pada belia?
Era pasca Covid-19 amatlah menguji graduan universiti dan belia berikutan kadar pengangguran semakin tinggi ditambah pasaran kerja yang rendah dan ekonomi meleset.
Penguasaan dan kepakaran dalam bidang akademik sangat diperlukan dan disanjung tinggi oleh semua lapisan masyarakat.
Sistem pendidikan di negara kita sudah lengkap dengan pelbagai mata pelajaran yang dapat membentuk modal insan cukup cemerlang dan impresif untuk menyumbang jasa dan tenaga mereka kepada tanah air.
Seseorang belia perlu menetapkan sasaran yang ingin dicapai oleh mereka dalam kehidupan khususnya menjurus kepada bidang akademik. Mereka perlu betul-betul memahami apa tujuan sebenar mereka berada dalam bilik darjah, apa maknanya mempelajari subjek-subjek tertentu.
Namun, ingatlah, kita tidak sepatutnya menjadikan keputusan peperiksaan sahaja sebagai kayu pengukur atau petunjuk prestasi utama (KPI).
Banyak aspek yang boleh dinilai dan diintepretasikan dalam diri belia di alaf baharu ini seperti kemahiran insaniah, sikap dan disiplin di sekolah, tahap keefisienan menyiapkan kerja-kerja dan kepatuhan murid kepada peraturan sekolah.
Secara ringkasnya, negara kita akan memperoleh pelbagai insan dan pakar yang berprestij apabila remaja pada alaf ini memahami kewujudan mereka.
KEUTAMAAN
Belia mesti menggalas tanggungjawab dengan sepenuh hati dan jiwa dalam menjalankan kewajipan sebagai seorang pelajar pasca Covid-19 dan bertekad untuk menjadi nafas baharu dalam menerajui negara.
Selain itu umum mengetahui, Covid-19 melanda dunia tanpa batasan. Seseorang belia dalam zaman pandemik ini sudah tentulah melalui pengalaman terpaksa berkurung di rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Justeru, belia seharusnya memahami, menjunjung tinggi dan meletakkan kepentingan nasional sebagai keutamaan pada bila-bila masa.
Mereka patut peka dengan dasar, polisi dan isu semasa di dalam dan luar negara. Ini kerana kesemua itu berkait rapat dengan kehidupan dan akan memberi kesan secara langsung atau tidak langsung ke atas diri mereka. Maka, belia perlu tekun membaca surat khabar atau melayari internet untuk mendapatkan maklumat terbaharu.
Selanjutnya, belia di zaman pasca Covid-19 harus melengkapkan diri dengan kemahiran dalam bidang teknologi. Kita sedia maklum, negara sedang mengalami pembangunan dari segi ekonomi, sosial, modal insan dan pembinaan infrastruktur cukup pesat.
Rakyat amat bertuah kerana dipimpin oleh mereka yang berkaliber di mana pembangunan negara adalah berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Wawasan Kemakmuran Bersama dan Agenda Pembangunan Mampan 2030.
KELUARGA
Bukan itu sahaja, dalam mengejar kekayaan dan darjat duniawi, belia di alaf pasca Covid-19 mestilah mempunyai pegangan agama yang menjadi pedoman dan panduan kehidupan mereka.
Agama bertindak sebagai benteng pertahanan paling kukuh dalam sanubari belia.
Diharapkan, belia pada era pasca Covid-19 dapat menyumbangkan tenaga di pasaran kerja dan menjana nafas baharu serta melakukan pembaharuan, inovasi ataupun penambahbaikan dengan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan status diri sendiri di samping dapat menikmati kehidupan lebih berkualiti.
Belia yang berada di ambang pasca Covid-19 hendaklah mengambil pengajaran dan iktibar daripada pandemik ini dengan menyedari tentang keperluan untuk menghargai masa dan detik bersama keluarga tersayang serta sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.
Umum sedia maklum, malapetaka dan musibah akan melanda tanpa memberikan signal, mesej atau pemberitahuan terlebih dahulu.
Maka belia perlu menetapkan sasaran dan objektif hidup serta memberanikan diri mengejar impian. Belia perlu mengetahui, masa adalah emas dan setiap detik cukup bermakna.
Oleh itu, saya mengesyorkan belia meluangkan lebih banyak masa menemani dan berinteraksi dengan ahli keluarga supaya hubungan silaturahim yang mantap dapat dijalinkan.
Ingatlah, air yang dicincang tidak akan putus. Perlu sentiasa ingat bahawa ibu bapalah yang membesarkan dan menjaga kita sebaik-baiknya, bagai menatang minyak yang penuh. Biarlah kita dapat membalas jasa dan merakamkan penghargaan tertinggi kepada mereka.
PENULIS ialah pelajar Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) serta Pengasas dan Presiden Persatuan Pemimpin Muda UM.










