Perkukuh hak, ekonomi wanita - Utusan Malaysia

Perkukuh hak, ekonomi wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
KAMALA
KAMALA SHIRIN LAKHDIR

KE mana sahaja saya pergi hari ini, rakyat Malaysia mempunyai hanya satu soalan untuk saya: “Apa pendapat anda mengenai seorang lagi Kamala (Senator Kamala Harris)- yang dipilih sebagai calon naib presiden?”

Sebagai Duta Besar, saya tidak berada dalam kedudukan untuk membin­cangkan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) tetapi melihat wanita maju dalam semua sektor masyarakat, ia patut diraikan.

Malah kelmarin di AS, kami meraikan Hari Kesamarataan Wanita untuk memperingati ulang tahun ke-100 kelulusan Pindaan ke-19 yang akhirnya meletakkan hak wanita untuk mengundi dalam perlembagaan AS.

Ia tidak berlaku dalam sekelip mata dan perjuangan untuk melaksanakan hak mengundi berterusan lama selepas itu. Namun Susan B. Anthony, Harriet Tubman, Sojourner Truth dan ramai lagi secara asasnya mengubah masyarakat AS melalui syarahan, pendidikan, petisyen, perarakan dan protes dalam perjuangan untuk suffrage atau hak untuk mengundi selama bertahun-tahun lamanya.

Kebanyakan nama pejuang ini termasuk nenek moyang saya, Martha Brewer semakin pudar dalam sejarah, tetapi pencapaian mereka diraikan setiap kali wanita memberikan undi masing-masing.

Pejuang hak untuk mengundi yang berani ini dan kebanyakan lelaki yang menyokong mereka menginginkan masyarakat yang mengiktiraf wanita sebagai warganegara dengan hak yang sama untuk menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan semua pihak.

Mereka memahami sesebuah negara yang menafikan hak kesamarataan wanita tidak dapat mewakili kepentingan semua warganya. Masyarakat yang melibatkan wanita dalam kehidupan sivik dan ekonomi adalah lebih sejahtera dan aman. Idea ini sangat relevan hari ini ketika kita meminta penyertaan semua orang untuk membina semula ekonomi yang hancur disebabkan pandemik Covid-19.

Malaysia berkongsi idea ini. Negara ini mempunyai wanita pencipta sejarah tersendiri yang memperjuangkan masyarakat lebih adil untuk kemerdekaan, hak dan gaji sama.

WAKIL PERTAMA

Aishah Ghani menjadi wakil wanita Malaysia pertama ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Beliau dan Shamsiah Fakeh mengasaskan dan memimpin organisasi nasionalis wanita pertama di negara ini iaitu Angkatan Wanita Sedar (Awas). Khatijah Sidek ialah wanita perintis dalam UMNO, Irene Fernandez mengasaskan Tenaganita, yang menggalakkan hak wanita migran dan pelarian.

Wanita di negara ini juga melangkah ke arah kesamarataan dalam perniagaan, masyarakat sivil dan pendidikan. Warga Kedutaan AS menumpu kepada usaha untuk meningkatkan kesedaran dan memperluas peluang bagi wanita Malaysia menyumbang kepada kejayaan negara.

Kerjasama ini juga akan memberi pengajaran kepada rakyat AS untuk digunakan di tempat mereka.

Di bawah kempen Pemerkasaan Wanita, Kedutaan AS dan rakan kongsi kami menganjurkan ceramah, program bimbingan dan pengupayaan serta kegiatan budaya untuk menyokong wanita

Malaysia dalam memberikan mereka akses kepada pendidikan dan kemahiran lanjutan serta platform untuk mencapai kesamarataan ekonomi.

Kami bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan negeri, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi rakan kongsi. Kami teruja dapat bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang berkongsi semangat dan visi sama.

USAHAWAN

Lebih banyak aktiviti ceramah melibatkan usahawan dan pakar syarikat permulaan telah dirancang untuk beberapa bulan akan datang. Kami juga menyokong pemimpin wanita muda di Malaysia dan rantau ini melalui Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI), yang menganjurkan Akademi Kepimpinan Wanita (WLA) tahunan secara maya pada bulan ini.

Akademi Usahawan Wanita (AWE) perdana kami, sebuah program Jabatan Negara yang dibangunkan di bawah Inisiatif Pembangunan dan Kemakmuran Global (W-GDP) yang dipimpin oleh Rumah Putih untuk menyokong perkembangan usahawan wanita di seluruh dunia, bakal dilancarkan bulan depan.

Dengan bekerjasama Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (WENA), AWE akan melatih dan melengkapkan usahawan wanita yang bercita-cita tinggi untuk mengembangkan perniagaan mereka, mengumpulkan modal dan membina jaringan.

Kami bernasib baik kerana dapat bekerjasama dengan ramai wanita di negara ini yang luar biasa, membangun dan memberi inspirasi kepada semua generasi yang inovatif untuk menyelesaikan masalah dan komited untuk mewujudkan masyarakat lebih adil yang mencerminkan kepelbagaian rakyat di negara ini.

Antaranya Anja Juliah Abu Bakar yang telah membimbing puluhan wanita untuk menangani cabaran sosial dan masyarakat yang menjadi halangan untuk berjaya. Junaida Aziz yang membantu ibu tunggal di Kelantan untuk memanfaatkan kemahiran mereka bagi menyara keluarga dan melatih orang lain dan Nina Othman yang perusahaan sosialnya Grow the Goose mengajar anak-anak tentang celik kewangan dan memberi peluang kepada penanam kecil koko di Sabah untuk dilengkapi kemahiran pertanian yang mampan.

Wanita luar biasa ini saling membantu. Kami telah banyak belajar daripada mereka. Seperti pejuang hak mengundi untuk wanita, mereka tahu bahawa cabaran-cabaran tidak dapat diatasi secara bersendirian.

Dalam kita meraikan Hari Kesamarataan Wanita, marilah kita, AS dan Malaysia mengingati bahawa kita membina komuniti yang makmur melalui penyertaan sama daripada semua pihak.

Moyang saya, A.H. Brewer mengetahui perkara ini. Itulah sebabnya dia membawa tiga anak perempuannya ke New York City pada 1915 untuk berarak bagi memperjuangkan hak mengundi untuk wanita.

Saya bangga mempunyai selempang Undi untuk Wanita kepunyaan moyang saya bagi mengingati sejauh mana kita telah sampai dan sejauh mana lagi kita masih perlu mara ke depan.
Jika wanita diperkasakan, kita semua diperkasakan.

Kamala Shirin Lakhdhir ialah Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×