Lafaz cerai luar mahkamah tak sah? - Utusan Malaysia

Lafaz cerai luar mahkamah tak sah?

Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, sebanyak 6,569 kes perceraian (setakat 18 Jun) didaftarkan di seluruh negara. Statistik ini dilihat Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, DATUK DR. MOHD NA’IM MOKHTAR sebagai tinggi sekali gus memperlihatkan kerapuhan institusi kekeluargaan pada masa ini.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN dan MAISARAH SHEIKH RAHIM, beliau berkongsi pandangannya dan cadangan supaya isu ini tidak menjadi kebiasaan baharu dalam masyarakat.

SAYA lihat ketika kerajaan mengambil langkah hendak kawal pergerakan rakyat untuk memastikan penularan Covid-19 dapat dihapuskan, pada masa sama institusi keluarga diuji oleh Allah. Tapi perkara ini adalah fitrah Allah dalam menjadikan kematian dan kehidupan ini sebagai ujian. Sejauh mana seorang suami mampu mengawal institusi keluarga daripada retak dan bercerai? Ia memerlukan satu kepimpinan yang utuh dan kuat. Kalau kita katakan unit dalam institusi keluarga seperti suami isteri dan anak-anak gagal mengawal ujian yang Allah berikan, ia akan menyebabkan dan menjadi punca kepada keruntuhan institusi keluarga itu. Kebanyakan perceraian sudah berlaku sebelum PKP lagi. Jadi bila PKP berkuat kuasa, ia menjadi halangan (daftar perceraian) kerana mahkamah tutup.

Dalam keadaan suami isteri tidak boleh bergerak, terpaksa duduk di rumah telah mencetuskan cabaran kepada mereka sehinggakan isu kecil pun boleh berubah menjadi besar. Berbeza sebelum PKP, kalau bergaduh mungkin salah seorang boleh keluar rumah untuk cool down. Namun semasa PKP, terpaksa mengadap satu sama lain. Akibatnya tercetus tekanan, naik darah tinggi. Bila masing-masing gagal kawal emosi, maka mempercepatkanlah lagi proses yang membawa kepada perceraian.  Tidak hairanlah apabila bila kita isytihar operasi mahkamah syariah dibuka sepenuhnya pada 10 Jun lalu, maka diserbulah oleh golongan ini. Paling banyak kes yang diterima mahkamah syariah di seluruh negara pada hari berkenaan adalah suami melafazkan cerai di rumah dalam tempoh PKP. Mereka hadir ke mahkamah pada hari itu untuk mengesahkan lafaz cerai yang telah dibuat.

 

TEKANAN EMOSI

Mengikut undang-undang, pemfailan penceraian mesti dibuat dalam tempoh dua minggu selepas lafaz cerai dilakukan, kena bawa ke mahkamah untuk pengesahan. Saya percaya, kes sebegini banyak berlaku dalam tempoh PKP. Kenapa? Sebab tekanan emosi, kegagalan suami isteri untuk menguruskan kewangan dan sebagainya. Suami hilang pekerjaan, tidak mampu bersabar dengan ujian sebegini. Apa yang berlaku sebenarnya adalah ujian kepada suami isteri. Sejauh mana mereka sanggup bersama pada masa susah senang?

Undang-undang sedia ada mengiktiraf penceraian di luar dan tanpa kebenaran mahkamah. Secara peribadi, saya fikir boleh buat undang-undang seperti di Asia Barat iaitu selagi mahkamah tidak beri kebenaran, lafazlah (cerai) berpuluh kali pun di rumah, tidak dikira (sah). Dengan cara sebegini, bolehlah kita kawal (kes perceraian). Tapi keadaan sedia ada mengiktirafnya (cerai luar mahkamah). Dalam kerapuhan dan ketiadaan pemahaman tentang tanggungjawab dan hukum, lagi mudahlah si suami mengeluarkan perkataan cerai. Jadi, bila undang-undang kekeluargaan Islam mengiktiraf kuasa lelaki untuk melafazkan talak di luar mahkamah dan hanya datang ke mahkamah untuk mengesahkan, maka sudah tentulah jumlah kes meningkat. Sebab itu kita lihat orang bukan Islam, kes cerai tidak sebanyak orang Islam sebab mereka kena memohon kepada mahkamah. Walaupun suami sebut di luar mahkamah, ia tiada kesan pun. Kita dalam Islam tidak ada cerai gohead gostan. Talak cerai tidak boleh pusing ke belakang.

 

BOLEH DISELAMATKAN

Setakat ini, penggubal undang-undang di negara ini mengiktiraf dan berpegang kepada Mazhab Syafii. Kita belum bincang perkara ini di peringkat pengamal undang-undang. Kita cadang lihat semula peruntukan ini kerana institusi keluarga terlalu rapuh. Terlalu mudah, hanya dengan lafaz cerai, sedangkan perkahwinan tadi boleh diselamatkan. Jadi, bagaimana nak mengimbangi antara mahu mempertahankan institusi keluarga dan pada masa sama nak memudahkan proses perceraian? Itu yang menjadi dilema. Itu yang perlu kita fikir, tengok balik sebab undang-undang Islam sesuai mengikut masa dan zaman.

Kemungkinan kerajaan kena fikir balik dalam konteks nak kawal jumlah penceraian. Kaji semula dari sudut hukum dan pandangan ulama. Syariat Islam nak jaga institusi keluarga dengan cara kita nak kawal, bukan tidak benarkan perceraian. Kawal dengan cara tunggu mahkamah beri kebenaran. Pastikan suami tidak salah guna lafaz talak, pada masa sama nak jaga institusi keluarga supaya tidak runtuh dengan sebab remeh-temeh. Kadang-kadang kita lihat kes cerai sebab masakan kurang garam, gula tidak cukup rasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×