Peluang Fatin raih emas berganda di Bangkok

Peluang Fatin raih emas berganda di Bangkok

Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Ong Sui Kim dan Aina Syazwana Abdul Muhaimin meraih pingat gangsa selepas menewaskan Thailand dalam kejohanan Piala Asia Memanah 2026 di Bangkok, kelmarin. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemanah compound negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh kini berada di ambang mencipta kejayaan berganda apabila turun memburu dua emas pada Piala Asia Memanah 2026 Peringkat 1 di Bangkok, hari ini.

Atlet berusia 35 tahun itu membawa keyakinan tinggi selepas menampilkan prestasi terbaik musim ini untuk menempah tempat ke dua aksi final menerusi acara berpasukan campuran dan individu wanita.

Mengulas persiapan, Fatin memilih untuk kekal tenang tanpa dibebani tekanan meskipun berdepan perlawanan penting.

“Saya tidak mahu letakkan tekanan kepada diri sendiri dan hanya mahu fokus untuk lakukan yang terbaik dalam setiap panahan.

“Dapat ke final pun sudah menggembirakan kerana sudah lama saya tidak berada di tahap ini terutama dalam acara individu,” katanya.

Dalam acara compound campuran semalam, Fatin bersama Mohd Juwaidi Marzuki membuktikan keampuhan apabila menundukkan wakil Singapura dalam saingan separuh akhir.

Pengalaman jelas membezakan pasangan negara apabila berjaya mengatasi Madeleine Ong Xue Li dan Erwan Zulfaqar Salamat dengan keputusan 154-152.

Namun, cabaran sebenar menanti apabila mereka dijadual menentang pilihan utama dari India, Chikitha Taniparthi-Rajat Chauhan dalam perebutan emas.

Dalam final individu wanita pula, dia bakal membuat perhitungan dengan pemanah Rusia, Arina Cherkezova dalam pertemuan pertama yang dijangka sengit.

Dalam pada itu, Fatin mengakui faktor angin di Bangkok menjadi cabaran utama yang memerlukan penyesuaian pantas sepanjang pertandingan.

Keadaan angin di sini agak kuat dan sukar diramal. Sebagai pemanah, itu adalah cabaran perlu dihadapi dan saya perlu lakukan pelarasan atau perubahan dengan cepat ketika melepaskan anak panah,” tambahnya.

Untuk rekod, Fatin bersama pasukan compound wanita negara telah pun menyumbang pingat pertama buat kem Malaysia dengan meraih pingat gangsa selepas menundukkan tuan rumah, Thailand, menerusi penentuan shoot-off kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×