KUALA LUMPUR: Dua jurulatih dari Rusia menjadi pilihan untuk melatih skuad terjun negara dalam masa terdekat sekali gus menamatkan dominasi sentuhan dari China sebelum ini.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, langkah itu merupakan strategi jangka panjang bertujuan memantapkan lagi barisan kejurulatihan yang mampan.
“Pada masa sama, kita juga dalam proses melantik jurulatih tempatan yang ada kemampuan dan kelayakan untuk membimbing atlet kebangsaan bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Sukan SEA dan Sukan PARA ASEAN 2025, hari ini.
Menurut Jefri, pelantikan berkenaan akan dinilai dan dibincangkan bersama pihak persatuan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) pada hujung bulan ini.
Mengulas persiapan menjelang Sukan Asia, Jefri memberi jaminan proses itu tidak akan menjejaskan fokus atlet, mengambil kira kem latihan bagi kelompok atlet terpilih telah dimulakan sejak tahun lepas.
“Jurulatih untuk Sukan Asia adalah selamat, memandangkan kita sudah buat proses penilaian tahun lepas bersama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dalam kompetensi dan penilaian prestasi mereka.
“Sementara itu, jurulatih yang yang tidak memberikan prestasi baik sudah tentu tahu dalam kontrak Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka ada perkara yang perlu mereka capai semasa kejohanan lalu. Jadi sepatutnya mereka sedarlah akan implikasinya,” katanya.
Tambahnya, kriteria utama pelantikan mana-mana jurulatih baharu selepas ini mestilah selari dengan potensi kelompok atlet yang mampu menyumbangkan pingat emas pada Sukan SEA 2027.
Terdahulu, Akuatik Malaysia (MAS) tidak menyambung kontrak dua adik-beradik jurulatih terjun negara dari China, Li Jun Bai dan Li Jun Song, berikutan kegagalan mencapai KPI bagi musim 2025. – UTUSAN










