PETALING JAYA: Kecelaruan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin ‘panas’ menjelang pemilihan Exco baru dan Presiden, susulan cadangan Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) yang mahu bekas Exco penggal 2025-2029 tidak dibenarkan bertanding semula.
Tekanan ini, dilihat menambah ketidaktentuan terhadap hala tuju badan induk bola sepak negara yang kini sedang melalui proses reformasi.
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menegaskan bahawa cadangan penubuhan panel pemantau bagi mengawasi tadbir urus FAM bukan berada dalam bidang kuasanya, sebaliknya, perkara itu perlu dijawab sepenuhnya oleh FAM sendiri, yang kini ditadbir sementara oleh sekretariat diketuai Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman.
Dalam situasi krisis kepimpinan yang kian mendapat perhatian, AFC memilih pendirian berprinsip dengan hanya berurusan secara rasmi bersama FAM sepanjang tempoh penilaian sedang berlangsung, melibatkan pasukan khas daripada AFC dan FAM.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menegaskan, pihaknya tidak akan mencampuri urusan dalaman melebihi mandat yang diberikan, termasuk berkaitan halangan terhadap bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) penggal 2025-2029.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan AFC telah menerima sepucuk surat rasmi daripada Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), salah satu ahli gabungan FAM, yang mengemukakan cadangan berhubung mekanisme pemantauan dan reformasi pentadbiran.
Menurut Windsor, AFC telah memaklumkan kepada FAM supaya memberikan jawapan rasmi terhadap cadangan tersebut, selaras dengan prinsip autonomi badan kebangsaan yang menjadi tunjang tadbir urus bola sepak antarabangsa.
“Kita dah maklum kepada FAM untuk jawab sebab kita hanya berurusan dengan FAM. Cuba semak dengan FAM. Tidak ada perkembangan terkini buat masa ini,” katanya.
Bagaimanapun, cubaan Utusan Malaysia mendapatkan maklum balas daripada FAM tidak berhasil apabila panggilan telefon dan kiriman mesej menerusi Whatsapp kepada Noor Azman tidak menerima sebarang jawapan.
Terdahulu, PBMM dalam surat yang tular itu menegaskan keperluan proses penilaian dilaksanakan dalam suasana ‘semak dan imbang’ bagi memastikan matlamat penambahbaikan FAM benar-benar dicapai, bukan sekadar bersifat kosmetik.
PBMM turut menyatakan sokongan terhadap proses semakan dan reformasi pentadbiran yang akan berlangsung selama tiga bulan dengan bantuan AFC, sambil menyuarakan harapan agar FAM muncul lebih kukuh serta diyakini selepas proses pembaikan berkenaan.
Antara cadangan utama ialah penubuhan sebuah panel pemantau bebas yang dianggotai wakil ‘neutral’ dalam kalangan ahli gabungan, khususnya mereka yang memegang jawatan utama seperti Presiden Persatuan atau Setiausaha Agung dan Kehormat.
Panel tersebut dicadangkan berfungsi sebagai badan pemantau tadbir urus tanpa kuasa membuat keputusan dasar, selain membantu AFC dari sudut pemantauan pentadbiran, terutama melibatkan peranan Setiausaha Agung dan Bendahari Kehormat FAM.
Selain itu, PBMM turut mencadangkan agar Exco FAM penggal 2025-2029 yang telah meletakkan jawatan secara kolektif tidak dibenarkan bertanding semula dalam pemilihan akan datang, meskipun mengakui cadangan itu tidak termaktub dalam Statut FAM dan berpotensi bercanggah dengan prinsip hak demokratik.
Untuk rekod, semua Exco FAM meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela pada 28 Januari lalu berkuat kuasa serta-merta, susulan krisis dalaman yang berpunca daripada pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA melibatkan tujuh pemain naturalisasi, sehingga menyaksikan FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) dan kini menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). – UTUSAN











