KUALA LUMPUR: Akuatik Malaysia (MAS) sedia mempertimbangkan untuk tidak menyambung kontrak atlet senior yang gagal beraksi dengan cemerlang pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Setiausaha Agung MAS, Andy Low berkata, perubahan bakal dilaksanakan dalam kem terjun negara berikutan kritikan terhadap atlet senior yang mengalami kemerosotan walaupun mereka antara yang terbaik dan memenuhi Standard Kelayakan Minimum (MQS)
“Jadi untuk sukan terjun, kita sedang membuat perubahan untuk bergerak ke hadapan, mereka perlu mengubah sikap. Mereka perlu berlatih dengan bersungguh-sungguh, mereka perlu mendengar arahan jurulatih.
“Jadi, kita juga sedang menyusun semula program supaya mereka boleh mendapatkan MQS yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di sini semalam.
Dalam pada itu, Low berkata, ketika ini tindakan tidak boleh diambil terhadap atlet yang gagal beraksi cemerlang dalam mana-mana kejohanan disebabkan kecederaan berikutan perkara tersebut tiada dalam klausa kontrak.
“Masalah kita dengan kontrak di sini adalah, jika anda tidak dapat beraksi kerana kecederaan, kita tidak boleh keluarkan mereka. Jadi, kita perlu teruskan mengikut kontrak tersebut.
“Kita ada beberapa atlet senior, jadi kita akan habiskan kontrak mereka. Kontrak mereka mensasarkan temasya Sukan Asia. Jadi, jika pada masa itu mereka tidak dapat beraksi, saya rasa kita perlu menasihati dan berbincang dengan mereka,” katanya. – UTUSAN










