PETALING JAYA: Akuatik Malaysia (MAS) menegaskan persiapan penerjun negara tidak terganggu walaupun tidak menyambung kontrak dua jurulatih terjun dari China, Li Jun Bai dan Li Jun Song.
Situasi itu menyebabkan badan induk itu kini kekurangan jurulatih pada peringkat Podium yang mana hanya Mao Lin dan Nor Aznizal Najib mengendali lebih 10 atlet kebangsaan.
Pengarah teknikal terjun, Yeoh Ken Nee berkata, pemergian kedua-dua jurulatih itu memberi sedikit impak jangka pendek, tetapi asas teknikal dan program latihan yang tersusun memastikan latihan tetap berjalan lancar.
“Walaupun mereka telah meninggalkan pasukan, persediaan tetap diteruskan dengan gangguan minima kerana kita mempunyai pasukan jurulatih berpengalaman dan struktur latihan yang kukuh.
“Pelan latihan dan pemantauan atlet masih dijalankan seperti biasa bagi mengekalkan standard prestasi pasukan,” kata Ken Nee kepada Utusan Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa tekanan menghadapi pertandingan antarabangsa seperti Piala Dunia adalah sebahagian daripada cabaran, dan pasukan perlu menghadapinya dengan positif.
“Persiapan kami tidak akan terjejas kerana kami mempunyai bilangan jurulatih yang mencukupi untuk mengendalikan penerjun elit.
“Pertandingan yang bakal berlangsung ialah Piala Dunia, dan memandangkan ia acara antarabangsa, tekanan sentiasa menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.
Ken Nee berkata rancangan menambah jurulatih baru masih dalam perancangan, bagi memastikan kesinambungan dan pembangunan jangka panjang program terjun Malaysia.
Kem terjun negara akan berdepan beberapa kejohanan antarabangsa seperti Piala Dunia Terjun Peringkat 1 di Kanada (26 Februari-1 Mac), Peringkat 2 di Mexico (5-8 Mac) dan Super Final di China pada 1 hingga 3 Mei. – UTUSAN










