MELBOURNE: Elena Rybakina berjuang menewaskan Jessica Pegula untuk mara ke final Terbuka Australia sekali gus mengatur ulangan perlawanan akhir kejuaraan 2023 menentang Aryna Sabalenka.
Rybakina dari Kazakhstan, yang memburu gelaran Grand Slam kedua, menewaskan pemain Amerika Syarikat itu dan pilihan keenam 6-3, 7-6 (9/7) dalam pertarungan sengit selama 1 jam 40 minit di Rod Laver Arena dan masih belum kehilangan sebarang set sepanjang kejohanan.
Ganjaran buat pemain berusia 26 tahun itu ialah pertembungan hidup-mati pada Sabtu menentang pemain nombor satu dunia dari Belarus, yang memusnahkan impiannya tiga tahun lalu dengan bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menjulang trofi.
“Ia benar-benar satu perlawanan yang sengit. Set kedua sangat epik. Saya sangat gembira dapat memenanginya. Saya sangat berbangga kerana walau apa pun keadaannya, saya mendahului, kemudian sudah tentu ia menjadi sangat ketat, saya masih mampu bertahan. Saya berjuang untuk setiap mata dan benar-benar gembira.
“Secara keseluruhan, banyak perkara positif yang boleh diambil,” kata Rybakina
Rybakina kelahiran Moscow, yang menewaskan pilihan kedua Iga Swiatek pada suku akhir, sedang berusaha kembali meraih gelaran Grand Slam buat kali pertama dalam tempoh tiga setengah tahun selepas menjuarai Wimbledon pada 2022.
Beliau berada dalam prestasi cemerlang kebelakangan ini, menewaskan Sabalenka untuk memenangi Final WTA di Riyadh pada November dan memenangi 19 daripada 20 perlawanan terakhirnya.
Rybakina yang berpangkalan di Dubai memulakan perlawanan dengan penuh keyakinan, memegang servis tanpa kehilangan mata, sebelum memaksa satu break apabila Pegula yang kelihatan gugup melakukan pukulan backhand ke jaring.
Pegula mula menemui rentaknya dan memberi tekanan dalam rali dari baseline, namun masih ketinggalan 3-0.
Satu pegangan servis meningkatkan keyakinan Pegula tetapi dia gagal memenangi sebarang mata dalam permainan berikutnya.
Dia beraksi baik untuk menyelamatkan dua mata break dan bertahan pada kedudukan 2-4, namun ia hanya melengahkan perkara yang tidak dapat dielakkan dan Rybakina meluncur mudah memenangi set tersebut dalam 32 minit.
Segala-galanya tampak jelas dengan pemain Kazakhstan yang fokus itu memenangi 22 perlawanan berturut-turut selepas memenangi set pertama.
Satu voli ke jaring oleh Pegula memberikan mata break kepada Rybakina pada kedudukan 1-1 dan satu pulangan padu memastikan kelebihan awal dalam set kedua.
Pegula yang kelihatan gelisah kembali fokus untuk memecah servis lawan, namun pukulan groundstroke bertenaga tinggi Rybakina terbukti terlalu kuat dan Pegula melepaskan break ketiganya dalam perlawanan itu sejurus selepas itu.
Pemain Amerika itu berjuang menyelamatkan tiga mata perlawanan ketika servis pada kedudukan 3-5, kemudian melakukan satu break yang menakjubkan ketika pilihan kelima itu yang kelihatan gementar melakukan servis untuk perlawanan.
Kebangkitan itu tidak bertahan lama, apabila dia sekali lagi dipatahkan, namun dengan sokongan padu penonton dia memecah servis lawan sekali lagi untuk membawa perlawanan ke tie-break yang penuh debaran. Rybakina kekal tenang untuk mara ke final Grand Slam ketiganya. – AFP/UTUSAN










