LONDON: Manchester City mengumumkan ketibaan pemain pertahanan England, Marc Guehi dari Crystal Palace dengan kontrak selama lima setengah tahun.
Berdasarkan laporan, kapten Palace itu dibeli dengan nilai sekitar 20 juta pound (RM108 juta) untuk memperkuatkan jentera pertahanan skuad kendalian Pep Guardiola.
Guehi menerima gaji kedua tertinggi di City iaitu 300,000 pound (RM1.6 juta) seminggu, di belakang Erling Haaland yang menerima 525,000 pound (RM2.85 juta) seminggu.
Gaji Guehi menyamai gaji Bernardo Silva, manakala Omar Marmoush berada di belakangnya dengan 295,000 pound (RM1.60 juta). John Stones, Gianluigi Donnarumma dan Ruben Dias masing-masing menerima 250,000 pound (RM1.36 juta) seminggu.
City mempercepatkan usaha mendapatkan Guehi susulan krisis kecederaan serius di barisan pertahanan yang mengganggu prestasi mereka di Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
“Saya gembira dan amat bangga menjadi pemain City. Perpindahan ini terasa seperti kemuncak kepada segala kerja keras saya sepanjang karier saya bersama England dan Palace,” kata Guehi.
Pengarah bola sepak City, Hugo Viana menyifatkan Guehi sebagai pertahanan terbaik England sejak beberapa musim lalu dan pembeliannya mampu menyelesaikan masalah pertahanan.
“Kami sudah mengikat bakat besar yang mampu meningkatkan pasukan. Walaupun berusia 25 tahun, dia ada kualiti kepimpinan, profesionalisme dan keinginan untuk berkembang,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










