Tujuh pemain warisan tuntut gaji setahun?

Tujuh pemain warisan tuntut gaji setahun?

Antara pemain warisan yang digantung FIFA atas kesalahan memalsukan dokumen. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tujuh pemain warisan negara didakwa mempertimbangkan untuk menuntut pampasan bersamaan gaji setahun daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan penggantungan 12 bulan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Difahamkan, tuntutan itu akan difailkan sekiranya FAM gagal dalam rayuan mereka ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi membatalkan atau meringankan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas pemain berkenaan.

Tujuh pemain yang terlibat dalam penggantungan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Iraurgui dan Hector Hevel.

Begitupun tiada sebarang pengesahan rasmi daripada tujuh pemain mahupun FAM berkenaan tuntutan berkenaan.

Menurut peguam sukan tanah air, Hairul Vaiyron Othman, segalanya bergantung kepada perbincangan awal antara kedua-dua pihak sama ada pemain itu sendiri terbabit secara langsung atau menyerah sepenuhnya proses kepada FAM.

Jelasnya, jika pemain sendiri tidak terlibat dalam salah laku itu maka wajar untuk mereka menuntut ganti rugi, namun seandainya mereka turut bekerjasama dalam proses berkenaan maka FAM mempunyai ‘kuasa’ membatalkan tuntutan berkenaan.

“Bagi saya semua bergantung kepada perbincangan awal antara pemain dan FAM. Jika pemain sendiri menyerah sepenuhnya urusan dan tidak terlibat dalam salah laku itu maka mereka berhak menuntut ganti rugi susulan hukuman penggantungan dikenakan terhadap mereka.

“Namun jika mereka terlibat maka tiada asas untuk mereka membuat tuntutan dan FAM sendiri berhak untuk membatalkan permintaan itu. Tentang perbincangan awal itu hanya pemain dan FAM sahaja yang tahu.

“Tuntutan yang bakal dilakukan mereka kemungkinan besar dilakukan selepas kes di CAS selesai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pakar undang-undang sukan, Nik Erman Nik Roseli, menegaskan bahawa peluang pemain-pemain berkenaan untuk menang dalam tuntutan tersebut tidak besar kerana proses mendapatkan kewarganegaran dilakukan menggunakan dokumen-dokumen yang didakwa meragukan.

Beliau menambah, meskipun wujud kemungkinan campur tangan pihak tertentu di dalam FAM, pemain tetap mempunyai tanggungjawab untuk memastikan semua dokumen yang ditandatangani adalah benar.

“Mereka menyerahkan bulat-bulat urusan penting kepada ejen dan pihak perantara tanpa memahami apa yang dikemukakan. Tidak boleh melepaskan semua tanggungjawab kepada orang lain,” jelasnya.

Sementara itu, menurut sumber dipercayai, FAM telah bertindak lebih awal untuk menjaga kebajikan pemain-pemain tersebut selepas dihukum oleh FIFA.

“FAM tidak lepas tangan, kesemua pemain yang terlinat dijaga kebajikan mereka,” kata sumber itu apabila ditanya tentang kebajikan pemain warisan yang digantung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN