Rekod emas terjun tergugat

Rekod emas terjun tergugat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penguasaan kontinjen terjun negara yang dipegang sejak edisi 2013 Myanmar tercalar apabila misi memburu pingat emas tergendala pada hari pertama semalam.

Penerjun Singapura, Avvir Pac Lun Tham menamatkan penguasaan Malaysia dalam pertarungan 1 meter (m) papan anjal lelaki, sekali gus memadam harapan negara untuk memulakan temasya dengan kemenangan sempurna.

Kekosongan pemain utama menyulitkan cabaran Malaysia apabila beberapa penerjun senior bersara dan berehat termasuk Kimberly Bong, Wendy Ng dan Ooi Tze Liang, selain Nur Dhabitah Sabri yang berehat setahun serta Datuk Pandelela Rinong yang mengalami kecederaan.

Sebaliknya, skuad negara kali ini majoritinya diwakili penerjun junior yang membuat penampilan sulung di pentas Sukan SEA, sekali gus meletakkan harapan negara pada bahu atlet muda.

Pengarah Teknikal Terjun Negara, Yeoh Ken Nee mengakui walaupun Malaysia masih kuasa besar dalam terjun Asia Tenggara, persaingan kini lebih sengit dengan negara jiran meningkatkan program masing-masing.

“Negara-negara Asia Tenggara lain telah meningkatkan program terjun masing-masing, manakala Malaysia memberi peluang kepada penerjun muda untuk mengumpul pengalaman berharga pada temasya ini.

“Pengalaman ini akan menjadi asas penting bagi pembangunan mereka dan memperkuatkan pasukan menjelang 2027 dan seterusnya,” kata Ken Nee kepada Utusan Malaysia.

Avvir menjuarai 1m papan anjal lelaki dengan 370.35 mata, manakala penerjun Thailand, Chawanwat Juntaphadawon meraih perak (357.80 mata) dan wakil negara, Yong Rui Jie membawa pulang gangsa dengan 354.55 mata, sementara Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim menamatkan saingan di tempat kelima (311.35 mata).

Semalam, kem terjun turut gagal menyumbang emas dalam acara 3m papan anjal lelaki selepas Muhammad Syafiq Puteh menamatkan cabaran ditempat kelima (356.30 mata) manakala Elvis Priestly Clement ditempat keempat dengan mengumpul 359.80 mata.

Ken Nee menegaskan pengalaman yang diperoleh penerjun muda adalah pelaburan penting bagi masa depan pasukan, lebih-lebih lagi menghadapi cabaran menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.

“Saya tidak berasa kecewa, sebaliknya melihat Sukan SEA ini sebagai pengalaman berharga dan peringatan tentang persiapan yang perlu dilakukan menjelang Sukan SEA 2027 di Malaysia.

“Walaupun masih muda, penerjun ini berjaya menepati Standard Kelayakan Minimum (MQS) dan layak sepenuhnya untuk bertanding pada tahap ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN