BANGKOK: Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen menuntut barisan pemain negara bangkit selepas dibaham Indonesia dalam final berpasukan lelaki Sukan SEA Thailand 2025.
Jonassen yang tidak senang hati dengan persembahan kelmarin menegaskan, kekalahan 0-3 kepada Indonesia kelmarin mencetuskan kembimbangan terutama persiapan menjelang kempen Piala Thomas di Horsens, Denmark yang bermula pada 23 April tahun depan.
Jelas beliau, kekalahan mudah kepada Indonesia itu mendedahkan banyak kelemahan ketara yang perlu diatasi dengan pantas oleh barisan kejurulatihan dan pemain jika mahu kekal relevan sebagai pencabar.
“Saya sememangnya tidak berpuas hati dengan apa yang diperagakan dalam acara berpasukan ini. Kami perlu memperbaiki banyak perkara dan ia perlu dilakukan segera jika mahu memiliki peluang realistik untuk mencabar di Piala Thomas nanti.
“Sudah tentu saya kecewa. Walaupun ‘marah’ bukan perkataan tepat kerana saya tahu mereka sudah berusaha, namun prestasi ini membuka mata saya mengenai aspek yang perlu diperbaiki jika kita benar-benar mahu bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.
Dalam aksi final tersebut, jurang kualiti permainan jelas kelihatan apabila perseorangan Utama negara, Leong Jun Hao gagal menyaingi kehebatan Alwi Farhan sebelum tewas 12-21, 19-21.
Kekecewaan negara bertambah apabila beregu utama yang menjadi sandaran emas, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut gagal menyumbang mata apabila tumpas straight set 12-21, 12-21 kepada gandingan No.8 dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.
Kekalahan skuad negara di noktahkan pemain perseorangan kedua, Justin Hoh yang tunduk 12-21, 14-21 kepada Muhammad Zaki Ubaidillah, sekali gus membiarkan pingat emas terlepas ke tangan Indonesia.
Mengulas lanjut, Jonassen mahu kekalahan di Bangkok itu dijadikan pengajaran berguna dan pembakar semangat buat pemain untuk memberikan komitmen yang lebih tinggi dalam sesi latihan.
“Kekalahan ini sepatutnya membakar semangat mereka dan mereka perlu bersedia mengikut segala perancangan yang diatur oleh barisan jurulatih,” tegasnya.
Kegagalan meraih emas itu menyaksikan kemarau kejuaraan skuad berpasukan lelaki negara di pentas Sukan SEA berpanjangan sejak kali terakhir dimenangi pada edisi 2005 di Manila.
Ia juga merekodkan kekalahan keempat Malaysia kepada Indonesia dalam lima pentas final terakhir temasya dwitahunan itu selepas edisi 2017, 2019 dan 2023. – UTUSAN










