PETALING JAYA: Tindakan FIFA mengenakan penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain negara mendapat reaksi kurang senang daripada Persekutuan Antarabangsa Pemain Bolasepak Profesional (FIFPRO) yang menganggap hukuman itu tidak wajar dan amat membebankan pemain terlibat.
Dalam kenyataan tegas yang dikeluarkan badan tersebut, FIFPRO menegaskan mereka berdiri sepenuhnya bersama pemain terbabit, selain percaya Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mampu memperbetulkan keputusan yang disifatkan sebagai tidak adil.
FIFPRO menganggap hukuman yang dikenakan ke atas mereka adalah sangat tidak seimbang dengan keadaan sebenar kes tersebut dan mereka adalah ‘mangsa’ dalam hal itu.
“Keputusan itu sendiri mengesahkan bahawa mereka tidak memalsukan sebarang dokumen untuk mendapatkan kelayakan dan turut mengakui bahawa dokumen yang mereka serahkan adalah asli.
“Apabila tidak kurang daripada tujuh pemain berada dalam situasi yang sama, jelas bahawa sebarang kemungkinan pemalsuan dokumen bukan berpunca daripada tindakan individu.
“Para pemain juga tidak mempunyai cara untuk mendapatkan pengesahan rasmi daripada FIFA berhubung kelayakan mereka secara individu, satu prosedur yang sebenarnya tidak diwajibkan di bawah peraturan semasa.
“Oleh itu, amat membimbangkan apabila mereka dipertanggungjawabkan atas dokumen yang dihantar oleh sebuah persatuan bola sepak kepada FIFA sedangkan mereka tidak pernah mengeluarkan atau menyerahkan dokumen terbabit,” kata FIFPRO.
Dalam kenyataan sama yang turut dikongsikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail itu, FIFPRO menjelaskan semua pemain sudah mengikut segala prosedur yang ditetapkan.
“Mereka menghantar dokumen peribadi, hadir di hadapan pihak berkuasa Malaysia, menjalani upacara angkat sumpah, menerima pasport yang dikeluarkan kerajaan, dan menunggu kelulusan kelayakan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Semua langkah ini ditangani oleh institusi luar kawalan mereka, namun kini mereka berdepan penggantungan daripada kelab masing-masing dan akibat serius yang bakal menyusul tanpa sebarang kesalahan daripada pihak mereka sendiri,” kata badan itu. – UTUSAN










