Detik paling bermakna dalam karier - Farhan

Detik paling bermakna dalam karier – Farhan

Aksi pemain sepak takraw Malaysia menentang Thailand dalam acara akhir regu berpasukan Sukan SEA 2025 di Bangkok, kelmarin. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Kapten sepak takraw negara, Farhan Adam menyifatkan kejayaan skuad negara menamatkan kemarau panjang 34 tahun pingat emas acara berpasukan di Sukan SEA Thailand 2025 sebagai detik paling bermakna dalam kariernya.

Farhan yang menyarung jersi kebangsaan sejak 2007, telah memenangi pelbagai kejuaraan antarabangsa, namun apit kiri berpengalaman itu belum pernah mengecapi nikmat juara dalam acara berpasukan yang selama ini didominasi oleh Thailand.

Menurut Farhan, pingat emas acara berpasukan di pentas Sukan SEA adalah satu-satunya koleksi yang belum pernah dimilikinya sebelum ini, dan kejayaan menamatkan dominasi Gajah Perang di laman mereka sendiri menjadikan kemenangan ini lebih manis buat Malaysia.

“Bagi saya secara peribadi, ini adalah kali pertama. Memang kali pertama saya menang pingat emas acara berpasukan di Sukan SEA. Syukur kepada Allah atas rezeki yang diberi pada kami hari ini.

“Apa yang boleh saya katakan ialah usaha tanpa henti pasukan negara akhirnya membuahkan hasil dan kita mengatasi Thailand. Ketika itu, Malaysia menurunkan barisan regu terbaik dan kita mengatasi Thailand dengan taktikal dan cara kita sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita.

Menurut Farhan, misi utama skuad negara di Bangkok kali ini bukan sekadar memburu kemenangan, tetapi mahu memadam sejarah hitam kegagalan Malaysia dalam acara regu berpasukan sejak kali terakhir memenanginya pada edisi 1991 di Manila.

Jelasnya, kejayaan memecahkan dominasi lawan tradisi selepas lebih tiga dekad adalah satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Kami datang dengan tekad nak pecahkan rekod, kali terakhir Malaysia menang adalah pada tahun 1991. Jadi hari ini (kelmarin), kami sudah pecahkan rekod itu, penantian selama 34 tahun akhirnya bernoktah,” ujarnya.

Mengulas mengenai aksi perlawanan, Farhan memuji komitmen rakan sepasukan yang memberikan persembahan luar biasa demi memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di gelanggang keramat Thailand.

“Pada kami, kami telah memberikan persembahan yang terbaik. Apa yang penting adalah kami bergerak sebagai satu pasukan yang berusaha keras untuk mendapatkan kemenangan untuk Malaysia. Inilah emas yang sangat diidam-idamkan oleh kami semua,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan menuntut pemain negara segera mengalihkan tumpuan untuk memburu pingat dalam baki acara yang dipertandingkan.

“Ini baru permulaan. Kita masih ada tiga lagi acara iaitu kuadran campuran, kuadran dan regu. Insya-Allah, kita doakan agar misi memburu emas dapat diteruskan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN