PETALING JAYA: Malaysia perlu memastikan prestasi mengecewakan di dua edisi lalu Sukan SEA Vietnam dan Kemboja tidak berulang di Thailand yang bakal membuka tirai kurang beberapa hari lagi.
Pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, beliau menganggarkan bagi memastikan Malaysia kekal dalam kedudukan tiga atau empat terbaik keseluruhan, sasaran perlu sekurang-kurangnya 250 pingat keseluruhan tanpa mengira warna pingat.
“Dengan 50 sukan dan 574 acara dipertandingkan, sasaran realistik kita perlu melebihi 220 hingga 250 pingat keseluruhan bagi mengelakkan prestasi jatuh ke tangga kelima atau lebih buruk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pekan turut menekankan pentingnya memperbaiki pencapaian dalam acara renang dan olahraga yang selama ini menjadi penyumbang utama pingat.
“Kita gagal meraih pingat emas seperti yang diharapkan dalam dua sukan ini pada edisi lalu. Satu pingat emas di renang dan lima di olahraga bukan angka yang memuaskan dengan jumlah acara yang banyak.
“Singapura misalnya, menumpukan pada renang dan meraih lebih 20 pingat emas hanya dalam satu acara itu sahaja,” katanya.
Beliau berharap temasya kali ini menjadi medan pembuktian dan KPI sebenar kepada kontinjen Malaysia, selain menjadi asas kukuh untuk kejayaan lebih gemilang di Sukan SEA Kuala Lumpur 2027.
“Jika prestasi kita masih lemah di Thailand, bagaimana kita hendak jadi tuan rumah yang berjaya pada 2027,” soal beliau.
Pada edisi di Vietnam, kontinjen negara mengumpul sebanyak 174 pingat secara keseluruhan dengan mengutip 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa dan berada di kedudukan keenam secara keseluruhan.
Sementara itu, di Kemboja, Malaysia gagal bangkit selepas hanya mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa serta berada di kedudukan ketujuh secara keseluruhan. – UTUSAN










