Aksi jauh daripada standard sebenar - Razif

Aksi jauh daripada standard sebenar – Razif

Razif Sidek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harapan skuad badminton lelaki negara untuk menamatkan badi 20 tahun dalam acara berpasukan terus terkubur apabila tunduk 0-3 kepada seteru tradisi, Indonesia pada final Sukan SEA di Gimnasium Thammasat Rangsit, kelmarin.

Kekalahan itu sekali lagi menekankan kelemahan skuad negara dalam menghadapi lawan yang lebih agresif, apabila Malaysia tewas empat kali daripada lima final terakhir kepada Indonesia sejak 2017.

Bekas legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek menegaskan persembahan skuad negara kali ini jauh daripada standard sepatutnya dan menekankan kelemahan fizikal serta taktikal pemain muda.

“Kita tidak tahu situasi di sana bagaimana. Cuma saya rasa macam mereka kehilangan idea dan taktikal. Semua banyak tidak menjadi.

“Kita tahu mereka sudah buat yang terbaik tetapi tidak boleh dinafikan bahawa mereka belum cukup bagus kerana tidak mengatasi Indonesia dan emas,” kata Razif kepada Utusan Malaysia.

Menurut Razif, masalah utama terletak pada pemain yang terlalu lambat, kurang variasi dalam strategi dan komunikasi antara pasangan beregu utama yang tidak efektif.

Aksi final bermula hambar apabila perseorangan pertama, Leong Jun Hao gagal mengekalkan rentak menentang Alwi Farhan sebelum tewas 12-21, 19-21 dalam pertarungan 46 minit.

Pasangan beregu utama, Aaron Chia–Soh Wooi Yik turut kecewa apabila tunduk mudah 12-21, 12-21 kepada gandingan Moh Reza Pahlevi Isfahani–Sabar Karyaman Gutama, sekali gus menutup peluang Malaysia untuk menghidupkan harapan.

Malaysia meletakkan harapan terakhir kepada perseorangan kedua, Justin Hoh, namun pemain muda itu tidak mampu menandingi tempo tinggi Muhammad Zaki Ubaidillah sebelum tewas 12-21, 14-21, mengesahkan kekalahan bersih 0-3.

Razif menambah, kekalahan itu harus menjadi pengajaran serius bagi pembangunan pemain negara, dengan menekankan bahawa pemain muda masih perlu diasah dari segi mental dan fizikal untuk bersaing di peringkat tinggi.

“Kalau nak bersaing dengan Indonesia, kita kena cepat, kena pandai buat variasi, dan mesti ada semangat juang yang tinggi.

“Ini bukan soal kualiti, tapi soal cara main dan disiplin di gelanggang, kalau tidak kita akan terus ketinggalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×