PETALING JAYA: Masalah kesihatan kuda serta persiapan yang singkat nyata tidak mematahkan semangat kem ekuestrian negara untuk menyumbang pingat emas acara dressage individu pada temasya sukan SEA 2025.
Atlet negara, Megan Ding Min Ern menceriakan kem negara apabila merangkul pingat emas selepas mengumpul sebanyak 76.525 mata untuk meninggalkan jauh dua atlet tuan rumah Pawarisa Thongpradup dan Nynn Puttisombat yang merangkul pingat perak dan gangsa.
Jurulatih ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil berkata, beliau bersyukur apabila persiapan pasukan membuahkan hasil memandangkan kekangan masa dan beberapa insiden penukaran kuda disebabkan kecederaan, termasuk kuda utama yang hampir gagal tiba tepat pada masanya kerana isu suhu di Eropah.
“Alhamdulillah,Ini satu kejayaan besar buat pasukan ekuestrian walaupun kita hanya mempunyai tiga penunggang kerana kekangan kuda cedera dan penukaran mendadak.
“Saya terpaksa mendapatkan bantuan daripada Persatuan Equestrian Indonesia untuk memastikan kuda Gaudi dapat dibawa ke Thailand bagi menyertai pertandingan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Secara keseluruhan, Qabil juga menegaskan bahawa persiapan untuk temasya akan datang perlu dimulakan lebih awal bagi memastikan kejayaan berterusan.
“Kita perlu ada pelan A, B dan C kerana keadaan kuda boleh berubah-ubah. Kalau diberi masa lebih lama, saya yakin kita mampu hasilkan keputusan lebih baik,” katanya.
Satu emas yang dirangkul dalam acara Individu nyata mengubat kekecewaan kem ekuestrian negara yang sebelum ini gagal menghadirkan sebarang pingat dalam acara berpasukan kelmarin. – UTUSAN










