KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei melihat cabaran getir bakal dihadapi dalam perebutan pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 bulan depan meskipun baharu sahaja memenangi Terbuka Australia baru-baru ini.
Menurut Tang Jie, cabaran itu akan datang daripada wakil Indonesia dan Thailand namun mereka berjanji akan memberi aksi terbaik dan berjuang habis-habisan bagi memastikan kilauan pingat mampu disumbangkan kepada kontinjen negara.
Jelas Tang Jie, sejujurnya dia dan Ee Wei lebih fokus kepada persiapan diri sendiri dalam sesi latihan serta sedaya upaya memastikan kecederaan ‘menjauhi’ mereka.
“Kalau boleh menang memang bagus, tetapi apa yang lepas biarlah berlalu. Masih ada banyak lawan yang lebih kuat. Untuk Sukan SEA, kami akan fokus sepenuhnya kepada acara berpasukan dahulu sebelum masuk acara individu.
“Bagi saya dan Ee Wei, cabaran itu sentiasa ada. Tapi fokus utama adalah diri kami. Setiap minggu adalah permulaan baharu. Apa yang kami buat dalam latihan itulah paling penting.
“Kalau bercakap tentang lawan, kita tidak boleh jangka apa-apa. Jadi yang kami boleh buat ialah jaga latihan dan jaga badan betul-betul. Tahun ini kami ada sedikit kecederaan, jadi kami lebih berhati-hati dan menjaga perkara itu,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Tang Jie dan Ee Wei bersama enam lagi atlet negara iaitu Zaidatul Husniah Zulkifli; Queenie Ting Kung Ni, Ng Jing Xuan; Wan Muhammad Fazri Wan Zahari dan M. Sanjay akan membawa cabaran Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025.
Sehubungan itu pihak Ajinomoto (Malaysia) Berhad telah menjalinkan kerjasama dengan lapan atlet tersebut dengan menyediakan pelan pemakanan peribadi yang seimbang dan bernutri oleh pakar pemakanan sukan profesional, bermula Oktober hingga Disember tahun ini.
“Pertama sekali, kami sangat menghargai dan berterima kasih kepada Ajinomoto atas penajaan ini. Ia benar-benar membantu dan memberi motivasi tambahan untuk kami beraksi lebih baik di gelanggang,” kata Ee Wei.
Tambah Ee Wei, disiplin dalam latihan adalah kunci utama untuk mereka mengekalkan prestasi konsisten di gelanggang.
Jelasnya, sasaran pingat emas yang diletakkan jurulatih, Nova Widianto kemungkinan besar selepas menilai prestasi semasa dan kemampuan dimiliki mereka.
“Mungkin jurulatih yakin dengan kami, jadi kami perlu buat yang terbaik dalam rutin latihan. Ia bukan sekadar soal menang pingat, tetapi kami mesti berdisiplin setiap hari.
“Bila turun gelanggang, kami mahu berikan yang terbaik tanpa rasa kesal. Sentiasa berjuang dan bermain demi negara.
“Sebagai atlet, kecederaan memang perkara paling ditakuti. Jadi kami akan jaga aspek itu sebaik mungkin,” katanya yang kini berada pada tahap 80 hingga 90 peratus pulih daripada kecederaan.
Dengan segala persiapan yang dilakukan, beregu campuran negara berharap mampu membawa pulang keputusan terbaik di Bangkok demi mengharumkan nama Malaysia. – UTUSAN










