Malaysia wajib buru empat terbaik Sukan SEA Thailand

Malaysia wajib buru empat terbaik Sukan SEA Thailand

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Thailand 2025, Nurul Huda Abdullah bersama pasukan Teqball di Royale Chulan Damansara. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kontinjen negara perlu menamatkan sekurang-kurangnya empat terbaik keseluruhan dalam kedudukan kutipan pingat di Sukan SEA 2025 sebelum Malaysia menganjurkan temasya dwitahunan itu dua tahun kemudian.

Itu pandangan yang diberikan oleh Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan SEA 2021 di Vietnam, Datuk Nur Azmi Ahmad berikutan Malaysia sudah lagi tidak menetapkan sasaran pingat emas dalam setiap temasya disertai.

Sebaliknya, Malaysia kini lebih selesa meletakkan sasaran jumlah pingat keseluruhan kerana tidak mahu memberi tekanan berlebihan kepada atlet.

Nur Azmi Ahmad

“Kontinjen yang dihantar pada Sukan SEA kali ini paling ramai iaitu seramai 1,100 atlet.

“Berdasarkan jumlah atlet yang dihantar pada temasya kali ini, saya fikir Malaysia perlu berada dalam kelompok empat terbaik dalam kutipan pingat sebab selepas ini giliran kita akan menjadi tuan rumah,” katanya.

Sasaran tanpa warna pingat diletakkan kepada kontinjen negara buat pertama kali pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di mana 27 pingat keseluruhan ditetapkan dan Malaysia membawa pulang 32 pingat.

Ditanya mengenai resepi kejayaannya sebagai CDM bagi memastikan negara mencapai sasaran 36 emas empat tahun lalu, Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu berkata, beliau perlu memastikan motivasi atlet berada di tahap tertinggi sebelum beraksi.

“Sebagai CDM, saya bertanggungjawab kepada atlet dalam keseluruhan aspek di mana pada waktu itu jika ada atlet yang ada masalah mendapatkan makanan halal atau tidak cukup penginapan misalnya, saya kena selesaikan.

“Senang cerita sebagai CDM, saya bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap atlet dan apabila motivasi berada berada dalam keadaan baik, peluang untuk merangkul pingat cerah,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia membawa pulang 39 pingat emas 45 perak dan 90 gangsa dan berada di kedudukan keenam keseluruhan dengan 174 pingat di Sukan SEA 2021.

Dua tahun kemudian, Malaysia menetapkan sasaran 40 pingat emas pada Sukan SEA Kemboja namun jumlah itu gagal dicapai apabila kontinjen negara membawa pulang 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa berada di kedudukan ketujuh keseluruhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×