PUTRAJAYA: Barisan peluncur muda negara tidak gentar berdepan bintang profesional rantau ini apabila turun membawa cabaran Malaysia dalam acara papan selaju (skateboard) Sukan SEA 2025 di Thailand bulan depan.
Ketua Jurulatih Persekutuan Sukan Luncur Beroda Malaysia (MYSKATE), Mariss Khan Mer Amanullah Khan berkata, skuad kali ini dibarisi 80 peratus atlet bawah 18 tahun yang memiliki semangat luar biasa dan bakat besar.
“Ramai persoalkan kenapa kita hantar yang muda, tapi mereka bukan calang-calang. Mereka ada kualiti dan sudah ada ranking dunia.
“Bagi saya, mereka bukan sekadar pergi untuk pengalaman, tapi mampu jadi pencabar sebenar kerana standard mereka sudah sampai tahap antarabangsa,” kata Mariss kepada pemberita selepas sesi lawatan Ketua Kontinjen ke Sukan SEA Thailand, Nurul Huda Abdullah di Presint 4, Putrajaya, semalam.
Malaysia menurunkan lapan atlet, dua lelaki dan dua wanita masing-masing dalam disiplin street dan park dengan sebahagian besar telah menyertai program pendedahan antarabangsa anjuran Majlis Sukan Negara (MSN).
Antara yang mencuri perhatian ialah peluncur street lelaki, Muhammad Mer Nullah Khan dan Mahathir Nor Daniel masing-masing berada dalam kelompok 150 terbaik dunia serta 10 terbaik Asia Tenggara.
Pengurus pasukan, Joseph Romey Dures turut yakin peluang podium tetap terbuka, terutama dalam disiplin park yang menampilkan peluncur lelaki berpangkalan di Finland, Arina Fikri Abdul Rahman.
“Kita nampak potensi podium dalam park sebab Arina sangat berpengalaman, pernah menang banyak kejohanan di Eropah dan kini antara peluncur paling konsisten kita.
“Untuk street pula, tumpuan pada peluncur lelaki seperti Momo (Mer Nullah) dan Mahathir yang sudah biasa beraksi di luar (negara), dan kita sasar mereka mampu tembus kelompok enam terbaik,” kata Joseph. – UTUSAN










