PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Javier Jorda Ribera menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Singapura pada aksi keempat Kumpulan C, Kelayakan Piala Asia B-17 2026 sebagai langkah penting sebelum Malaysia membuat perhitungan penentu dengan Vietnam, malam ini.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia B-16 mengekalkan rekod 100 peratus selepas empat perlawanan, sekali gus berada di landasan terbaik memburu slot ke pusingan akhir di Arab Saudi tahun depan.
Ribera berkata, Singapura bukan lawan yang mudah dan beliau sudah menjangkakan bahawa perjuangan sebenar pasukannya hanya akan ditentukan menerusi aksi terakhir bertemu tuan rumah, Vietnam.
“Empat perlawanan, empat kemenangan. Singapura sentiasa menjadi lawan yang sukar. Kami tahu sejak awal lagi bahawa kelayakan kami akan ditentukan dalam pertemuan terakhir dengan Vietnam.
“Hanya kemenangan yang akan membawa kami ke Arab Saudi 2026. Kami juga sedar Vietnam bermain selepas kami dan mereka tahu jumlah jaringan yang diperlukan untuk menjadikan keputusan seri pada aksi terakhir sebagai pilihan, jadi kami perlu mengawal prestasi sendiri,” katanya.
Menurut Ribera, anak buahnya memulakan perlawanan dengan sangat baik apabila berjaya memecah kebuntuan seawal minit keempat, sekali gus memberi kelebihan kepada Malaysia untuk menguasai separuh masa pertama.
“Kami bermula sangat fokus dan komited dengan perancangan permainan. Gol awal pada minit ke-4 membantu kami mengawal permainan. Kami mencipta tiga peluang jelas dan berjaya menjaringkan gol kedua sebelum rehat.
“Dari segi bertahan, kami tidak memberi Singapura sebarang peluang berbahaya,” ujarnya.
Bagaimanapun, perubahan taktikal Singapura pada babak kedua serta pertukaran awal yang terpaksa dibuat Malaysia menjadikan aksi semakin mencabar.
“Kami bersetuju untuk meneruskan pendekatan sama pada separuh masa kedua, tetapi kami perlu membuat pertukaran awal. Singapura kemudian mengubah corak permainan mereka dan ia mencetuskan beberapa situasi bertahan.
“Mereka berjaya menjaringkan gol melalui sepakan penjuru dan pada minit-minit akhir, mereka terus menekan. Kami perlu lebih konservatif untuk mengelak memberi ruang atau melakukan larian yang tidak perlu, tambahan pula kami perlu memikirkan perlawanan terakhir,” jelasnya.
Malaysia kini bakal berdepan detik penentu apabila menentang Vietnam pada aksi kelima dan terakhir Kumpulan C dan hanya juara kumpulan akan mendapat slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-17 di Arab Saudi tahun depan.
“Ahad (hari ini) adalah penamat kempen kelayakan. Kami sudah bersedia untuk mencabar Vietnam bagi gelaran juara kumpulan,” kata Ribera. – UTUSAN










