LEBIH dua dekad dalam bola sepak profesional menjadikan Farizal Marlias antara penjaga gol paling berpengaruh dalam sejarah moden Malaysia.
Beliau yang turut mesra disapa Mail sudah mewakili skuad kebangsaan lebih 50 perlawanan antarabangsa dan terus menjadi contoh buat generasi baharu.
Begitupun disebalik perjalanan penuh gemilang dengan semua koleksi kejuaraan ditawarkan dalam saingan Liga Malaysia telah berjaya dimiliki namun tahun 2017 menjadi detik hitam dalam kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional.
Farizal telah digantung selama 12 bulan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 31 Mei 2017 susulan tindakannya menolak pengadil dari China, Fu Ming, di penghujung perlawanan ketika menentang kelab Filipina, Ceres Negros FC di Bacolod City, Filipina.
Selain digantung, dia juga didenda AS40,000 dolar (RM170,581) oleh AFC namun kelab diwakilinya iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) terutama pemilik kelab, Tunku Mahkota Ismail jelas memainkan peranan cukup besar membantu Farizal kembali bangkit.
Menyingkap perjalanan awal di arena bola sepak, anak Felda Jengka 18, Temerloh, Pahang itu hanyalah seorang kanak-kanak yang berminat bermain bola namun bakat dikesan oleh cikgu Rizuwan menyaksikan nama Farizal menyinar.
Ketika usia 12 tahun dia mewakili Pahang di kejohanan anjuran Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), selepas itu dia menyertai tunas cemerlang selama tiga bulan, sebelum diserapkan ke Akademi Bolasepak Pahang hingga berusia 15 tahun.
Bakatnya terus dikembangkan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SNBJ), selepas tamat di belajar di sekolah sukan itu, Farizal kembali ke Pahang dengan mewakili skuad belia dan presiden.
Kerjaya profesionalnya bermula bersama kelab Shahzan Muda FC, sebelum mencipta nama di Perlis hingga mampu memikat jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagopal pada 2009 untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan cap pertamanya adalah ketika aksi persahabatan menentang Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Dulu sebelum berhijrah ke Perlis, saya pergi selama dua minggu untuk sesi pemilihan pasukan Johor FC sebelum menyerah kerana selama tempoh itu saya langsung tidak bermain bola, hanya diberi ujian stamina.
“Selepas itu, saya pulang ke Shahzan Muda dan menerima tawaran ke Perlis. Saya tanya pendapat pemain-pemain senior di Pahang dan mereka pesan pergi.
“Saya dua tahun di Perlis tapi tahun 2009 menjadi zaman kegemilangan saya apabila dipanggil menyertai skuad kebangsaan, selain memenangi anugerah penjaga gol terbaik,” katanya.
Farizal terus berhijrah dengan menyertai Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan JDT menjadi kelab paling lama diwakili iaitu selama sedekad bermula 2015 hingga 2025, sebelum bersara secara rasmi Jun lalu.
“Di JDT pelbagai kenangan manis dan pahit dilalui. Pahit tentunya digantung 12 bulan dan bila dengar pemain warisan digantung tempoh sama saya terbayang ketika masa saya lalui.
“Tapi masa itu, terima kasih kepada Tunku Mahkota Ismail kerana percayakan saya dan memberi sokongan penuh untuk saya lalui detik itu. 2018 saya kembali bermain dan ia satu kepuasaan selepas 12 bulan tidak terlibat dalam perlawanan bola sepak,” jelasnya.
Kini lebaran berbeza buat Farizal dalam kariernya apabila menceburi bidang baharu sebagai penganalisis atau pengulas bola sepak.
Pada usia 39 tahun, Farizal kini menyertai barisan penyiar sukan Astro untuk musim baharu Liga Malaysia (Liga-M) bagi menyumbang kepakarannya dari studio dengan menganalisis perlawanan serta berkongsi pandangan bersama penonton setia bola sepak tanah air.
Menurut Farizal, tawaran tersebut pada mulanya mengundang rasa ragu dalam dirinya namun selepas mengambil masa lebih seminggu untuk berfikir dan berbincang bersama keluarga, beliau akhirnya menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
“Saya terima kerana ia masih dalam dunia bola sepak, itu sahaja. Kalau bidang lain, saya mungkin tidak akan setuju kerana bola sepak adalah bidang saya sejak dahulu,” katanya.
Farizal turut menyifatkan peranan baharunya ini sebagai satu cabaran berbeza, namun memberi ruang untuk beliau menimba pengalaman lebih luas, bukan sahaja dalam aspek teknikal bola sepak tetapi juga dalam dunia penyiaran.
“Sebelum ini saya hanya di temubual untuk tempoh singkat selepas perlawanan. Kini, ia memerlukan saya bercakap lebih panjang dan mendalam, menyampaikan pandangan dengan yakin secara langsung.
“Saya anggap ini satu cabaran baharu dan saya cabar diri untuk menghadapinya,” jelasnya. – UTUSAN










