KUALA LUMPUR: Kapten Harimau Malaya, Dion Cools akan menggunakan pengalamannya beraksi bersama Cerezo Osaka di Liga Jepun (J-League) untuk memantapkan barisan pertahanan dan jentera serangan skuad kebangsaan.
Pemain berusia 28 tahun itu berkata, bola sepak di Jepun berada dalam kelas tersendiri dan berbeza dengan Asia Tenggara, sekali gus memberikannya pendedahan terbaik dalam karier khusus di peringkat antarabangsa.
“Bukan gaya permainan yang mungkin diterjemahkan di atas padang, tetapi saya rasa ia lebih kepada pendedahan kepada sistem baharu yang saya lihat mungkin di Jepun yang boleh saya kenal pasti di atas padang.
“Pengalaman ini boleh membantu rakan sepasukan saya (Harimau Malaya) di atas padang untuk meneroka atau memberitahu mereka apa yang saya lihat dari sudut pandangan saya yang boleh tingkatkan prestasi.
“Mungkin saya boleh membantu barisan pertahanan atau serangan untuk mencari penyelesaian yang mungkin kami hadapi dalam perlawanan. Jadi, saya rasa mendapatkan pengalaman itu adalah satu perkara yang baik,” katanya.
Statistik J-League musim ini menyaksikan Cools merekodkan satu jaringan dan satu bantuan jaringan selepas 12 aksi di Jepun selain mencatatkan purata 6.98 mata setiap perlawanan berdasarkan statistik oleh Sofascore.
Menurut Cools, J-League merupakan liga bola sepak yang unik kerana setiap minggu akan berlaku perubahan taktikal dan gaya permainan setiap pasukan juga berbeza.
“Saya sangat seronok bermain di J-League. Saya dapat melihat persamaan setiap pasukan yang bermain dengan gaya bola sepak yang unik di J-League. Jadi, setiap minggu anda tidak tahu apa yang hendak dijangkakan.
“Jadi, ia sangat bagus untuk dilihat dan saya harap banyak pertandingan di Asia akan mencapai tahap yang sama seperti yang berlaku di Jepun sekarang,” kata bekas pemain Buriram United itu.
Cools dijangka menjadi pilihan utama pengendali Harimau Malaya, peter Cklamovski dalam aksi menentang Nepal alam kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini. – UTUSAN










