Buruan pingat bermula

Buruan pingat bermula

Kontinjen Malaysia diketuai Foo Zu Tung selaku pembawa Jalur Gemilang melepasi pentas utama perasmian Sukan Deaflympics 2025 di Tokyo Metropolitan Gimnasium, Jepun, semalam. - IHSAN MSDEAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Kontinjen Malaysia memulakan buruan pingat apabila Deaflympics Tokyo 2025 secara rasmi membuka tirainya semalam, dengan tumpuan utama kepada dua pingat emas yang disasarkan dalam acara badminton.

Bagi memastikan kesiapsiagaan pada tahap optimum, seramai 25 atlet negara tiba lebih awal pada 4 November lalu untuk menjalani latihan berpusat di Bandar Miyoshi, Jepun, bagi menyesuaikan diri dengan cuaca dan persekitaran setempat.

Persoalan utama kini ialah sejauh mana persiapan rapi ini mampu menterjemahkan sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDEAF), termasuk dua dari badminton dan satu dari boling.

Juara bertahan beregu wanita, Boon Wei Ying-Foo Zu Tung, dilihat sebagai sandaran utama negara untuk mengekalkan emas, dengan Wei Ying turut menggalas tanggungjawab membimbing pasangan beregu campuran, Edmund Teo yang memenangi perak pada edisi 2021.

“Sekarang ini, saya tarik diri daripada perseorangan untuk fokus kepada beregu wanita dan campuran, dan diharapkan boleh dapat pingat untuk Malaysia dalam Deaflympics ini,” kata Wei Ying.

Bagi acara boling, jurulatih negara, Tay Teck Kheng berkata format baharu acara berpasukan akan menjadi ujian sebenar skuad negara, namun beliau yakin skuad lelaki berpotensi besar membawa khabar gembira.

Kontinjen olahraga negara juga akan diuji, khususnya Mohamad Zamir Azman yang digelar Raja Pecut Pekak Asia Tenggara, dan Nur Andrina Zainuddin, dengan kedua-duanya berpeluang mencipta kejutan selepas catatan membanggakan di Sukan SEA Pekak (SEADEAF) Jakarta 2025 pada Ogos lalu.

Dalam karate, sandaran utama V. Yilamaran bersedia menambah koleksi pingat Malaysia selepas meraih perak dalam acara kumite di Deaflympics Brazil 2021.

Terdahulu, Kerajaan Malaysia meluluskan peruntukan tambahan RM3 juta kepada MSDEAF bagi membantu persiapan kontinjen ke Tokyo, sementara Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan insentif khas RM80,000 bagi pemenang pingat emas, RM40,000 perak, dan RM20,000 gangsa.

Jika rekod terdahulu menjadi penanda, Malaysia menamatkan kemarau pingat emas 20 tahun pada Deaflympics Brazil 2021 apabila Boon Wei Ying-Foo Zu Tung meraih emas beregu wanita, manakala Zana Azizul Ujang meraih emas pertama dalam temasya itu sejak Malaysia menyertai pada 1993 menerusi 110 meter (m) lari berpagar lelaki di Rom 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×