PETALING JAYA: Ketua jurulatih boling padang negara, Zuraidi Puteh, enggan cepat berpuas hati dan mahu anak-anak buahnya memperbaiki kelemahan menjelang Sukan Komanwel Glasgow tahun depan.
Beliau menegaskan, meskipun Malaysia muncul juara keseluruhan Piala Dunia Boling Padang 2025 dengan mengumpul satu emas dan tiga gangsa, jurulatih berpengalaman itu tidak mahu terus terleka dengan kejayaan itu.
“Kami hampir mencapai lebih daripada itu, tetapi ada beberapa kesilapan kecil yang tidak sepatutnya berlaku.
“Setiap kesilapan adalah pengajaran. Kami akan perbaiki struktur latihan untuk persiapan lebih baik ke Glasgow,” katanya.
Beliau turut memuji kerjasama erat antara pasukan jurulatih, Institut Sukan Negara, dan unit sokongan seperti sains sukan, nutrisi, psikologi serta analisis prestasi yang menjadi kunci kejayaan.
“Pengenalan Portable Rink juga bantu kami latih dalam keadaan sebenar lebih awal,” tambahnya.
Kejayaan gemilang Emma Firyana Saroji yang meraih pingat emas selepas menewaskan pemain nombor 43 dunia dari England, Katherine Rednall 1-0 dalam final perseorangan wanita, memberi suntikan semangat besar kepada skuad negara.
Selain Emma, pingat gangsa disumbangkan oleh Nurul Alyani Jamil (perseorangan wanita), Izzat Shameer Dzulkeple (perseorangan lelaki) dan Jariah Zakaria (perseorangan wanita para).
Beliau menegaskan kejayaan ini menjadi penanda aras penting untuk tempoh empat tahun akan datang dan komited memastikan Malaysia kekal antara kuasa besar boling padang dunia.
Dengan Sukan Komanwel di Glasgow semakin hampir dan peluang boling padang dimasukkan dalam Sukan Olimpik Brisbane 2032, skuad negara kini memburu momentum lebih hebat demi mengibarkan bendera Malaysia di pentas antarabangsa. – UTUSAN









