BELFAST: Nick Woltemade menyelamatkan maruah Jerman apabila meledak gol tunggal ketika menang 1-0 ke atas Ireland Utara untuk terus kekal mendahului Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2026.
Penyerang Newcastle di Liga Perdana Inggeris (EPL) itu meledak gol pertama bersama skuad kebangsaan selepas menanduk masuk hantaran David Raum pada minit ke-31 untuk memberikan kelebihan kepada pelawat.
“Ia tiga mata yang amat penting buat kami. Dalam suasana sebegini dan perlawanan yang tidak menarik, kami tetap perlu menang dan kami lakukannya dengan baik,” kata Woltemade selepas perlawanan.
Sementara tu, jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann turut sependapat ia bukan persembahan terbaik anak buahnya yang jelas bergelut untuk mencipta peluang dan Gerakan menarik atas padang.
“Memang bukan permainan tercantik kami. Stadium sangat emosional dan kami perlu berjuang untuk setiap bola,” kata Nagelsman.
Kemenangan itu mengekalkan Jerman di tangga teratas kumpulan dengan kelebihan perbezaan jaringan berbanding Slovakia, yang menewaskan Luxembourg 2-0 pada malam sama.
Kedua-dua pasukan kini mengumpul tiga kemenangan daripada empat perlawanan, dengan hanya juara kumpulan layak secara automatik ke Piala Dunia tahun depan
Walaupun tewas, Ireland Utara masih hanya tiga mata di belakang pendahulu, dengan baki dua aksi terakhir menentang Slovakia (di tempat lawan) dan Luxembourg (di laman sendiri).
Pasukan bimbingan Michael O’Neill itu sebelum ini mengejutkan Slovakia 2-0 dan berharap mengulangi kejutan sama, namun kali ini gagal menembusi benteng kukuh Jerman.
Nagelsmann mengekalkan kesebelasan utama yang sama ketika mereka membelasah Luxembourg 4-0 minggu lalu bagi mengekalkan momentum menyerang atas padang.
Anak buah Nagelsmann akan berdepan Slovakia di Leipzig bulan depan dan kemenangan pastinya menjadi sasaran mereka untuk mengesahkan tiket Piala Dunia 2026. – AGENSI/UTUSAN










