PETALING JAYA: Pengarah Teknikal Terjun Kebangsaan, Yeoh Ken Nee menegaskan skuad terjun negara perlu kembali memperagakan taring sebenar selepas menamatkan kempen Kejohanan Akuatik Asia di Ahmedabad, India dengan keputusan sederhana.
Malaysia menamatkan saingan di tempat kedua keseluruhan menerusi kutipan lima pingat perak dan tiga gangsa, di belakang kuasa besar China yang menyapu bersih kesemua 10 emas, manakala Uzbekistan ketiga dengan tiga gangsa.
Ken Nee mengakui walaupun skuad negara kekal antara pencabar utama Asia, prestasi kali ini masih belum berada pada tahap yang benar-benar meyakinkan.
“Secara keseluruhan, pasukan tidak teruk, namun tiada keputusan yang benar-benar menonjol kali ini.
“Kami ada detik-detik baik, tetapi juga terlepas peluang untuk raih keputusan lebih kuat. Asia semakin sengit dan negara lain semakin menghampiri kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menegaskan penerjun negara perlu mempertingkatkan aspek keyakinan dan keagresifan bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif menjelang Sukan Asia di Aichi-Nagoya pada 2026.
Antara penyumbang utama pingat di Ahmedabad ialah Bertrand Rhodict Lises-Enrique Harold Mccartney (10m seirama lelaki), Muhammad Syafiq Puteh (1m papan anjal), Syafiq-Elvis Priestly Clement (3m seirama lelaki), Nur Eilisha Rania Abrar Raj-Nurul Farisya Alia Affendy (10m seirama wanita) dan Nur Eilisha-Ong Ker Ying (3m seirama wanita).
Ken Nee turut memuji ketenangan Nur Eilisha yang berjaya mengekalkan pingat gangsa dalam acara 10m platform meskipun diasak hebat penerjun Indonesia, Gladies Larasati.
“Eilisha menunjukkan kekuatan mental yang baik apabila kekal fokus hingga ke akhir untuk mengekalkan kedudukan podium,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan pencapaian rakan sepasukan, Farisya yang menamatkan saingan di tempat kelima sebagai pengalaman penting dalam proses menuju tahap elit antarabangsa.
Malaysia dijangka menilai semula program latihan serta pendekatan teknikal bagi memastikan kontinjen negara tampil lebih garang pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 sebelum mengalihkan tumpuan ke Jepun tahun depan. – UTUSAN










