PETALING JAYA: Skuad negara membuka kempen kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan tuan rumah Tajikistan 2-0 di Stadium Central, Dushanbe, kelmarin.
Skuad kendalian Leila Chua mempamerkan aksi bertenaga dengan menguasai permainan sejak awal babak pertama, sebelum Laila Syamila membuka tirai jaringan pada minit ke-15 hasil dari tengah padang.
Barisan pertahanan yang cukup berdisiplin juga menjadi kunci kemenangan apabila berjaya mengekang gerakan berbahaya pasukan tuan rumah untuk mencari gol penyamaan.
Ketika permainan berbaki enam minit, Dishanna Pillay memastikan kemenangan mutlak buat Malaysia selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84 untuk mengesahkan keputusan 2-0.
“Bukan satu kemenangan yang mudah, seperti yang saya katakana bukan senang untuk berdepan tuan rumah kerana mereka sangat agresif. Jadi, apabila kami mendahului 1-0, pada babak kedua, mereka sangat agresif.
“Saya amat bangga dengan barisan pemain kerana ereka mempamerkan semangat juang yang tinggi, perlawanan ini sangat agresif. Biarpun melakar kemenangan, pasukan tetap akan merendah diri.
“Kami mendapat tiga mata penuh, tetapi kena ingat ini adalah peringkat kumpulan. Esok (hari ini) kami akan fokus kepada pemulihan dan akan bersiap sedia untuk aksi seterusnya,” kata Leila selepas perlawanan.
Kemenangan berharga itu bukan sahaja membuka peluang besar buat skuad Malayan Tigress B-17 memburu tiket ke pusingan akhir, malah membuktikan kemampuan mereka bersaing di pentas Asia.
Selepas satu perlawanan, Malaysia mengutip tiga mata menghuni tangga kedua Kumpulan A, di belakang Filipina yang mendahului carta selepas membelasah Syria 5-0.
Skuad negara akan turun berdepan Syria hari ini dalam perlawanan kedua, manakala Filipina kan berdepan tuan rumah Tajikistan. – UTUSAN







