Skuad ragbi 'bertenang' selepas lapan cedera

Skuad ragbi ‘bertenang’ selepas lapan cedera

AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejayaan skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara muncul pasukan ketujuh terbaik keseluruhan dalam Siri Kejohanan Ragbi Asia 7s terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila lapan pemain mengalami kecederaan.

Dua daripada mereka mengalami kecederaan serius selepas Ahmad Zulhilmi Azizad cedera di lutut kanan manakala Wan Azley Wan Omar di buku lali kiri.

Ketua jurulatih negara, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, berdasarkan situasi semasa dia tidak akan mengadakan sebarang perlawanan persahabatan dalam mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

“Penting untuk pemain melakukan pemulihan sepenuhnya memandangkan lapan pemain kita cedera dengan dua daripada mereka cedera serius. Jadi, kami perlu berjaga-jaga sepanjang tempoh latihan.

“Senarai akhir ke Sukan SEA seramai 17 orang dan kita akan kekalkan mereka sepanjang persiapan ke Sukan SEA sebelum kita bawa 13 pemain sahaja ke temasya itu.

“Ini kerana kita bimbang dalam tempoh persiapan tersebut ada pemain mengalami kecederaan jadi kita kekalkan saja kesemuanya,” katanya.

Terdahulu, Malaysia menamatkan Siri Kejohanan Ragbi Asia 7s edisi pertama di tempat keenam terbaik di Hangzhou, China pada bulan lalu sebelum melengkapkan edisi kedua di tempat kesembilan keseluruhan di Sri Lanka, minggu lalu.

Bagi kategori wanita pula menyaksikan Malaysia berada di kedudukan kelapan terbaik keseluruhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×