'Saya datang bukan cari populariti'

‘Saya datang bukan cari populariti’

Peter Cklamovski
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski mengakui pasukan Harimau Malaya memiliki sesuatu yang istimewa dan ia dapat melihat perkara itu sepanjang 10 bulan membimbing pasukan ini.

Ketua jurulatih kelahiran Australia itu, yang mula membimbing Harimau Malaya sejak Disember tahun lalu berkata, beliau bukan sahaja teruja dengan perkembangan positif yang ditunjukkan pemain, malah turut terpikat dengan budaya bola sepak dan semangat serta sokongan padu penyokong di Malaysia.

Cklamovski menyedari semua rakyat Malaysia mahu melihat skuad Harimau Malaya berada pada tahap terbaik, dan tanggungjawab itu sedang diusahakan barisan kejurulatihan, pengurusan serta para pemain bagi membina sebuah pasukan kebangsaan yang boleh menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Beliau berharap seluruh rakyat dapat terus memberi sokongan kepada Harimau Malaya tidak kira dalam apa sahaja keadaan dan mendapat inspirasi daripada semangat serta sumbangan yang ditunjukkan pemain di atas padang.

“Kami mahu bermain dengan cara yang akan membuat setiap kanak-kanak mahu bermain untuk pasukan kebangsaan. Kanak-kanak mahu jadi seperti Mickey (Faisal Halim), seperti Dion Cools dan mahu mahu jadi seperti sesiapa sahaja yang beraksi di atas padang.

“Kami mahu memberikan mereka inspirasi dan harapan bahawa satu hari nanti mereka juga boleh bermain untuk negara. Kami melakukannya melalui cara kami bermain dan kerja keras untuk mencapai kemenangan demi mereka.

“Saya berharap semua rakyat Malaysia terus mengambil berat mengenai pasukan kebangsaan dan saya dapat merasai perkara itu daripada penyokong sepanjang 10 bulan saya berada di sini.

“Saya memahami suasana dalam pasukan kebangsaan, melihat sesuatu yang istimewa dalam kumpulan pemain. Mentaliti yang sedang kami bina sebagai satu pasukan dan seperti yang saya katakan, saya nampak semangat itu dalam mata dan hati mereka,” katanya.

Cklamovski turut berkongsi bagaimana beliau dan Harimau Malaya menghadapi detik sukar dalam beberapa minggu kebelakangan ini terutama membabitkan isu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dengan Persatuan Bolasepak Malaysia dan tujuh pemain warisan.

Kemelut itu hadir ketika Harimau Malaya berdepan misi penting mengekalkan momentum kemenangan dan mengharungi dua aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos.

Jelasnya, antara pendekatan yang diambil sepanjang kem latihan sejak 6 Oktober lalu adalah dengan tidak memikirkan mengenai isu itu dan hanya fokus untuk mendapatkan kemenangan penting ke atas Laos menggunakan barisan pemain yang ada.

“Semua isu dan spekulasi di luar sana tidak mempengaruhi kami kerana kami tidak boleh mengawalnya. Jika kami terlalu fikir mengenai semua itu, kami tidak adil terhadap permainan dan tidak menghormati lawan kami.

“Pemain, barisan kejurulatihan dan semua dalam pasukan benar-benar fokus, komited serta berdisiplin supaya kami dapat melakukan yang terbaik untuk terus membina kemajuan buat skuad kebangsaan,” ujarnya.

Cklamovski turut menekankan bahawa dia tidak pernah datang ke Malaysia untuk mencari populariti atau perhatian, sebaliknya fokus utamanya adalah membangunkan bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.

“Saya bukan datang ke sini untuk diri sendiri. Saya datang untuk negara ini. Jadi, kalau ada orang yang tidak suka saya, itu tidak mengapa.

“Saya akan terus menjalankan tugas seperti biasa. Sebagai ketua jurulatih, jika ada halangan dalam usaha saya membawa pasukan ke hadapan, saya akan harungi halangan itu demi kemajuan bola sepak Malaysia.

“Saya rasa saya sudah tunjukkan perkara itu sebelum ini, semuanya berasaskan kepada apa yang terbaik untuk pasukan kebangsaan dan bola sepak negara,”jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN