LONDON: Pegendali Arsenal, Mikel Arteta mengakui Martin Odegaard telah memainkan peranan luar biasa ketika membantu The Gunners menang 2-0 ke atas Olympiakos dalam saingan Liga Juara-Juara, semalam.
Pemain tengah Norway itu menjadi pencetus kepada gol pembukaan Gabriel Martinelli pada minit ke-12, sebelum hantaran bijaknya kepada Bukayo Saka menghasilkan gol kedua Arsenal pada masa kecederaan.
“Odegaard mempunyai lesen untuk mara ke hadapan untuk bermain dengan kebebasan dan ancaman seperti itu. Bukan hanya dengan hantaran, tetapi cara dia bawa bola, menggelecek dan membuat larian, dia benar-benar berbahaya.
“Sebenarnya dia sepatutnya menjaringkan gol hari ini. Hebat untuk memilikinya semula. Dia juga bermain beberapa minit penting untuk membantu kami menang di Newcastle pada Ahad lalu,” kata Arteta.
Selain itu, Arteta juga percaya kualiti yan dimiliki Odegaard sangat sesuai dengan rentak pantas yang dibawa oleh pemain sayap seperti Martinelli, Saka, Eberechi Eze dan Noni Madueke.
“Tidak ramai pemain mampu melakukannya. Kami perlu bermain mengikut kekuatan kami, dan apabila kami ada tiga penyerang depan sepantas itu, kami perlu manfaatkannya 100 peritus.
“Bahagian kreativiti itu sifat semula jadinya. Ia tidak membawa tekanan tambahan kepadanya. Itulah keupayaan terbaiknya. Tidak ramai pemain boleh melakukannya. Itu sifat semula jadinya.
“Dia ada kebebasan penuh daripada saya untuk meneroka dan merasai pergerakan dalam ruang. Dia jelas melakukannya dalam beberapa perlawanan terakhir,” kata Arteta. – AGENSI/UTUSAN










