JOHANNESBURG: Cape Verde melakar sejarah apabila layak ke Piala Dunia buat kali pertama selepas menewaskan Eswatina 3-0 dalam aksi kelayakan, semalam.
Berkapasiti sekitar 550,000 Cape Verde menjadi negara kedua paling kecil pernah mara ke Piala Dunia, selepas Iceland (350,000) yang beraksi di Russia pada 2018.
Cape Verde menjuarai Kumpulan D dengan mengumpul 23 mata, empat mata mengatasi Cameroon yang memegang rekod penampilan terbanyak Afrika di Piala Dunia dengan lapan edisi.
Kemaraan Cape Verde itu juga dibantu keputusan seri tanpa jaringan melibatkan pertembungan antara pencabar terdekat mereka, Cameroon dengan Angola di Yaounde.
“Memberikan kegembiraan ini kepada rakyat kami adalah sesuatu yang luar biasa. Kemenangan ini untuk seluruh rakyat Cape Verde.
“Kejayaan ini juga lebih bermakna sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara kami,” kata jurulatih Cape Verde, Pedro Brito.
Selepas mendominasi separuh masa pertama tanpa jaringan, Cape Verde menggamatkan Stadium Praia sebaik babak kedua bermula apabila Dailon Livramento dan Willy Semedo menjaringkan dua gol pantas dalam sembilan minit pertama.
Livramento membuka jaringan pada minit ke-48 yang juga gol keempatnya pada kempen kelayakan, sebelum Semedo menambah gol kedua enam minit kemudian.
Gol ketiga hadir pada masa kecederaan menerusi pemain gantian Stopira yang menyambar bola muntah dalam kotak penalti untuk melengkapkan pesta bersejarah itu.
Menariknya, Cape Verde banyak bergantung kepada pemain kelahiran luar negara yang mempunyai darah keturunan Cape Verde, termasuk Livramento yang lahir di Rotterdam dan Semedo di pinggir Paris.
“Saya terlalu sebak. Saya bersama seluruh rakyat Cape Verde sama ada di tanah air atau di perantauan,” kata Stopira yang menjaringkan gol terakhir perlawanan.
Kapten dan penyerang Ryan Mendes pula menghadiahkan kejayan mara ke Piala Dunia 2026 kepada penyokong Cape Verde yang sentiasa berada di belakang pasukan.
“Terus terang, saya tidak mampu untuk berkata apa-apa. Saya amat, amat gembira,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










