Mesir layak ke Piala Dunia, Arab Saudi benam Indonesia

Mesir layak ke Piala Dunia, Arab Saudi benam Indonesia

Penyerang Mesir, Mohamed Salah diasak pemain pertahanan Djibouti, Aboubaker Liban Abdi dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Afrika di Casablanca, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAPE TOWN: Mesir muncul pasukan ketiga benua Afrika yang layak ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Djibouti 3-0 manakala Cape Verde dan Ghana semakin hampir mengesahkan tempat ke kejohanan di Amerika Syarikat tahun depan.

Ibrahim Adel membuka jaringan sebelum Mohamed Salah menambah dua gol untuk memastikan Mesir kekal tanpa kalah dan mengungguli Kumpulan A dengan 23 mata manakala Burkina Faso di tempat kedua selepas menang 1-0 ke atas Sierra Leone.

Mesir yang pernah beraksi di tiga edisi Piala Dunia menyertai Maghribi dan Tunisia sebagai wakil Afrika pertama yang mengesahkan tiket ke kejohanan berprestij itu.

Sementara, pasukan kerdil Cape Verde hampir mencipta sejarah mara buat kali pertama ke Piala Dunia selepas seri 3-3 menentang Libya di Tripoli.

Skuad kendalian Pedro Brito bangkit dari 3-1 untuk menyamakan kedudukan pada lapan minit terakhir dan hampir menang dalam masa kecederaan, namun jaringan itu dibatalkan.

Jika Cape Verde menewaskan Eswatini di laman sendiri pada Isnin ini, mereka akan menjadi negara kedua terkecil dalam sejarah yang layak ke Piala Dunia.

Di Jeddah, pengendali Arab Saudi, Herve Renard memuji kebangkitan anak buahnya menewaskan Indonesia 3-2 dalam saingan kumpulan B kelayakan zon Asia, semalam.

Kemenangan itu dibantu menerusi dua jaringan penyerang sensasi, Feras Al-Brikan sekali gus mengukuhkan peluang mara ke pusingan akhir tahun depan.

Kevin Diks meletakkan Indonesia di depan menerusi penalti pada minit ke-11, namun Saleh Abu Al-Shamat menyamakan kedudukan enam minit kemudian sebelum Al-Brikan menjaringkan dua gol, masing-masing pada hujung babak pertama dan awal babak kedua untuk memastikan tiga mata penuh buat tuan rumah.

Diks sekali lagi menyempurnakan penalti pada minit ke-88 bagi merapatkan jurang, namun ia tidak cukup untuk menafikan kemenangan skuad bimbingan Renard itu. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN