JOHOR BAHRU – Hasrat skuad hoki remaja negara untuk beraksi pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat lebur setelah tewas 1-2 kepada India pada aksi terakhir kumpulan Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC), Taman Daya, di sini petang tadi.
Kemenangan itu juga membolehkan pasukan India membuat perhitungan dengan Australia sekali gus mengulangi aksi final SOJC 2022.
Pada perlawanan itu, skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin tampak berjaya menyaingi kekuatan India dengan mengancam kubu lawan, namun tiada jaringan yang mampu dijelmakan.
India terlebih dahulu membuka jaringan berpunca daripada pukulan sudut penalti yang disudahkan Gurjot Singh menewaskan penjaga gol Haziq Muizuddin Hairul Mizan pada minit ke-22.
Dua minit berselang, Young Tigers berpeluang menyamakan kedudukan, namun pukulan sudut penalti yang diambil Azimuddin Shakir Kamaruddin tersasar dari pintu gol lawan.
Skuad kendalian S.P. Sreejesh berpeluang menjarakkan kedudukan menerusi tiga pukulan sudut penalti yang dimenangi pada suku kedua tetapi percubaan tersebut berjaya dinafikan Haziq Muizuddin.
Memasuki suku ketiga, anak buah Nor Saiful meningkatkan tempo permainan dan berjaya menyamakan kedudukan setelah bola lambung Danish Aiman Khairul Anwar ke pintu gol India ditolak masuk oleh P. Naaveenesh pada minit ke-43.
Juara SOJC tiga kali itu kembali di hadapan pada minit ke-48 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh AK Sourabh, menghidupkan peluang untuk beraksi di pentas final.
India yang dihadiahkan beberapa pukul sudut penalti pada suku keempat gagal memanfaatkan peluang tersebut untuk menjarakkan kedudukan.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad hoki remaja negara sekadar beraksi pada perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam, sama ada berdepan New Zealand atau Pakistan. – UTUSAN









