PETALING JAYA: Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj dan Nurul Farisya Alia Affendi membuktikan Malaysia memiliki pelapis bertaraf Asia apabila meraih pingat perak acara seirama 10 meter (m) platform wanita di Kejohanan Akuatik Asia, Ahmedabad, India kelmarin.
Aksi berani tanpa gugup gandingan berusia 20 dan 16 tahun nyata mendapat pujian Pengarah Teknikal Terjun Negara, Yeoh Ken Nee yang menyifatkan prestasi mereka sebagai melangkaui jangkaan awal.
“Eilisha dan Farisya melakukan persembahan yang sangat baik. Mereka masih muda tetapi sudah menunjukkan kematangan dalam terjunan mereka.
“Saya boleh kata mereka sudah menepati jangkaan dan yang lebih penting, ada potensi untuk pergi lebih jauh,” kata Ken Nee kepada Utusan Malaysia.
Eilisha-Farisya menutup saingan di tempat kedua dengan 235.86 mata, di belakang gandingan China, Wu Xia Han-Liu Zi Han yang merangkul emas dengan 317.04 mata.
Bagi Eilisha, kejayaan ini mengulangi pencapaian sehari sebelumnya apabila turut membawa pulang perak bersama Ong Ker Ying dalam acara seirama 3m papan anjal wanita.
Dua podium berturut-turut itu sekali gus mengangkat Malaysia sebagai kuasa baharu rantau ini, malah semakin hampir menyaingi dominasi gergasi Asia.
Hakikat bahawa China tidak menurunkan barisan terbaik membuka ruang kepada negara lain, namun Malaysia bijak memanfaatkannya untuk memperkukuh status sebagai pencabar utama Asia Tenggara.
Ken Nee menegaskan situasi itu bukan alasan untuk leka, sebaliknya peluang berharga yang perlu dijadikan batu loncatan bagi melonjakkan diri menghadapi persaingan sebenar.
“Kita perlu gunakan pengalaman ini untuk terus memperbaiki diri, kerana walaupun China tidak turunkan penerjun utama, kita tetap perlu bersedia menghadapi tahap sebenar mereka di kejohanan akan datang,” katanya. – UTUSAN










