PETALING JAYA: Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli berdepan detik cemas apabila menerima kad kuning sebelum meraih gangsa dalam acara lontar peluru F20 di Kejohanan Olahraga Para Dunia dekat New Delhi, kelmarin.
Kad kuning itu diberi sebagai amaran kerana Ziyad mendapatkan air dan ais sebelum beraksi dalam acara lontar peluru F20 di Stadium Jawaharlal Nehru.
Jurulatihnya, Mohd Faizol Harun berkata, ais dan air tersebut diberi oleh pasukan perubatan Institut Sukan Negara (ISN) sebelum Ziyad memulakan pertandingan.
“Saya tak tahu, begitu juga dengan pegawai perubatan tersebut namun saya tegaskan di sini, ini bukan salah sesiapa sebab kami berdua tidak tahu yang atlet tidak boleh menerima apa-apa sebelum bertanding.
“Masa (Datuk) Abdul Latif (Romly) beraksi tempoh hari tiada masalah tetapi bukan kali ini. Selepas ini kami akan lebih berwaspada dan kami juga akan mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada pegawai teknikal.
“Pastinya insiden ini menjadi pengajaran berguna buat kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, Ziyad meraih gangsa selepas melakukan lontaran 17.26 meter (m) manakala emas dimenangi wakil Ukraine, Oleksandr Yarovyi dengan catatan 17.73m sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya ketika memenangi emas pada Sukan Paralimpik 2024 menerusi balingan 17.61m.
Gangsa menjadi milik rakan senegaranya, Maksym Koval yang melakukan catatan 17.52m.
Sebagai rekod, Ziyad sebelum ini berdepan detik hitam apabila pingat emas Paralimpik Tokyo 2020 ditarik balik kerana protes oleh atlet Ukraine yang mendakwa atlet dari Gombak itu tiba lewat di bilik persalinan. – UTUSAN







