COPENHAGEN: Pemain tengah Denmark, Morten Hjulmand mengakui pasukannya tidak berada di prestasi terbaik ketika menumpskan Greece 3-1 dalam kelayakan Piala Dunia 2026, semalam.
Bagaimanapun, pemain Sporting CP di Liga Belanda itu menganggap perkara itu tidak penting kerana misi utama pasukan adalah untuk mengutip tiga mata penuh untuk membuka peluang ke pusingan Piala Dunia.
Dengan berbaki dua perlawanan di peringkat kelayakan ketika ini, Denmark kekal di tangga teratas Kumpulan C dengan 10 mata, mendahului Scotland menerusi perbezaan jaringan gol.
Kedua-dua pasukan akan berentap pada aksi terakhir bulan depan bagi menentukan juara kumpulan yang akan layak secara automatik ke Piala Dunia, manakala naib juara perlu melalui pusingan play-off.
Setakat ini, Denmark dan Scotland sudah mengesahkan sekurang-kurangnya tempat ke play-off manakala Greece yang menghuni tangga ketiga dengan tiga mata sudah tersingkir.
“Secara keseluruhan, saya rasa kami tidak beraksi pada tahap terbaik hari ini. Tetapi, yang paling penting adalah tiga mata yang berjaya dikutip untuk kami mencerahkan peluang ke Piala Dunia.
“Kadang kala anda tidak mencapai prestasi tertinggi dan hari ini kami tidak berada di tahap itu, namun tetap menang 3-1 ke atas pasukan kuat seperti Greece,” katanya.
Greece terlebih dahulu menguasai permainan di awal babak pertama, namun kesilapan besar pemain tengah Christos Zafeiris pada minit ke-21 membuka ruang buat Rasmus Hojlund menyudahkan bola mudah ke gawang selepas hantaran ke belakangnya gagal sampai kepada penjaga gol.
Joachim Andersen menggandakan jaringan menerusi tandukan hasil sepakan penjuru Mikkel Damsgaard pada minit ke-40, sebelum Damsgaard sendiri menambah gol ketiga seminit kemudian selepas satu lagi kesilapan pertahanan Greece membolehkannya menyudahkan bola ke gawang terbuka.
Denmark kemudian memperlahankan rentak pada babak kedua dan Greece akhirnya merapatkan kedudukan pada minit ke-63 menerusi rembatan kencang Christos Tzolis menewaskan Kasper Schmeichel, gol pertama yang dibolosi Denmark sepanjang kempen kelayakan kali ini. – AGENSI/UTUSAN










