MANCHESTER: Pep Guardiola melihat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) terasa seperti menentang Stoke City ketika di bawah kendalian Tony Pulis apabila semakin banyak pasukan menjadikan situasi bola mati sebagai senjata utama musim ini.
Hampir 19 peratus daripada semua gol liga musim ini datang daripada sepakan sudut, kira-kira lima peratus lebih tinggi berbanding mana-mana musim sebelumnya.
Pengurus Manchester City itu berkata, beliau menghormati hak setiap pengurus untuk menggunakan gaya taktikal yang sesuai dengan pasukan masing-masing, dan enggan mengkritik trend yang semakin meningkat itu.
Namun, Guardiola menegaskan, dia tidak akan mengabaikan kesan bola mati, biarpun City menjadi satu-satunya pasukan yang menjaringkan daripada permainan terbuka dan tetap akan menumpukan kepada aspek lain untuk memenangi perlawanan.
“Memang benar ramai yang gunakan setiap lontaran ke dalam (throw-in) seperti sepakan sudut, dan meletakkan 10 pemain dalam kotak penalti.
“Kami menderita ketika menentang Brentford, atau lihat Brentford lawan Liverpool, setiap lontaran (Michael) Kayode dimasukkan ke dalam kotak. Dan Kayode menjadi pemain terbaik perlawanan.
“Kini bola mati benar-benar menjadi ancaman. Saya teringat dahulu ketika Sean Dyche di Burnley, mereka sangat berbahaya dengan hantaran jauh dan bola kedua. Dyche memang antara yang terbaik dalam aspek ini.
“Ini bukan perkara baru, Sam Allardyce juga melakukannya. Atau Stoke City dahulu dengan lontaran jauh mereka. Sekarang ramai pasukan melakukannya, tetapi ketika itu hanya Stoke yang luar biasa seperti itu.
“Saya ingat lagi ketika di Barcelona dan Bayern Munich, Arsène Wenger pernah bercakap tentang betapa sukarnya bermain di Stoke City. Kini perkara itu berlaku lebih kerap, ” kata Guardiola.
Guardiola turut memberi reaksi terhadap kritikan terhadap kualiti permainan Liga Perdana, yang dikatakan semakin menurun kerana terlalu menekankan kekuatan fizikal berbanding kemahiran teknikal. – AGENSI/UTUSAN










