Reformasi akar umbi penentu bola sepak negara

Reformasi akar umbi penentu bola sepak negara

Khalid Yunus
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangunan akar umbi bola sepak negara memerlukan reformasi menyeluruh dalam pembangunan bola sepak remaja negara sekiranya Malaysia mahu kembali disegani di pentas Asia.

Bekas Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Khalid Yunus menegaskan, kegagalan skuad belia negara di peringkat antarabangsa adalah bukti jelas kelemahan struktur pengurusan ketika ini.

Menurut beliau, kegagalan itu tidak boleh lagi dipandang ringan kerana ia menjejaskan hala tuju keseluruhan bola sepak tanah air.

“Kena rombak habis, dari atas sampai ke bawah. Dah lama kita tidak ada program pembangunan yang benar-benar berkesan. Kalau terus dibiarkan, bola sepak Malaysia akan terus merudum,” katanya.

Turut senada dengannya, bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan yang mahu pembangunan jangka panjang tidak dikompromi walaupun pasukan senior kini menunjukkan peningkatan.

Wan Jamak Wan Hassan

Menurutnya, kejayaan skuad Harimau Malaya perlu disokong dengan asas kukuh di peringkat belia.

“Kita tak boleh hanya fikir keputusan jangka pendek. Akademi bola sepak ada banyak, tapi hala tuju tidak jelas.

“Latihan perlu lebih menyeluruh, bukan setakat teknikal dan taktikal sahaja, malah psikologi dan keyakinan pemain muda juga mesti dibentuk,” katanya.

Wan Jamak turut menggesa universiti tempatan mencontohi Jepun dan Korea Selatan yang menjadikan institusi pendidikan tinggi sebagai ‘kilang’ melahirkan pemain bola sepak berkualiti.

Beliau mahu pemain muda dibimbing jurulatih berpengalaman agar mereka mempunyai ikon untuk dijadikan teladan sejak peringkat akar umbi lagi.

Tegas beliau, tanpa pembaharuan menyeluruh dalam pembangunan akar umbi, Malaysia hanya akan terus bergantung kepada bakat luar atau kejayaan bersifat sementara, sedangkan masa depan bola sepak negara masih kabur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×