Pendekatan taktikal berbeza Nafuzi buah hasil

Pendekatan taktikal berbeza Nafuzi buah hasil

Pemain skuad bawah 23 negara, Fergus Tierney cuba melakukan sepakan gunting dalam aksi Kelayakan Piala Asia Bawah 23 menentang Mongolia di Thailand, kelmarin. Malaysia menang 7-0. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan berani mengubah taktikal ketika berdepan Mongolia ternyata menjadi titik perubahan besar buat skuad bawah 23 tahun (B-23) negara apabila mereka melakar kemenangan besar 7-0 pada aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23.

Jurulatih B-23 negara, Nafuzi Zain menegaskan, kejayaan tersebut bukan hanya lahir daripada semangat juang pemain, tetapi juga hasil keyakinan barisan kejurulatihan merombak pendekatan permainan tanpa perlu menggugat kestabilan kesebelasan utama.

“Kita mendapat tiga mata yang sangat berharga dan tahniah kepada pemain kerana bangkit selepas kalah kepada Lubnan. Kita bermain satu persembahan yang baik dengan kemenangan.

“Saya rasa 7-0 adalah kemenangan yang besar. Satu jaringan yang penting untuk kita mara ke pusingan yang seterusnya nanti,” katanya selepas perlawanan.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Thammasat petang kelmarin menyaksikan skuad Malaysia membelasah Mongolia 7-0.

Gol pasukan negara disumbangkan menerusi hatrik Fergus Tierney (m 37,47 dan 48),Aliff Izwan (m-15 dan 60), Ziad EL Basheer (m-69) dan Aysar Hadi (m-15).

Jelas Nafuzi, aspek teknikal menjadi titik perubahan apabila pemain dilatih lebih agresif dalam menyerang ruang kosong sekali gus memaksa Mongolia bertahan sepanjang perlawanan.

“Kita membuat beberapa perubahan dari segi teknikal, walaupun kita kekalkan pemain yang sama. Dari segi moral, motivasi dan yang penting kita dapat menggunakan peluang yang ada untuk jaringkan gol. Hari ni itu yang paling penting,” katanya.

Dia menegaskan kemenangan besar itu memberi keyakinan tambahan kepada pasukan, namun tetap mengekalkan fokus penuh menjelang aksi penentuan menentang tuan rumah, Thailand.

“Kemenangan tetap kemenangan, tapi kita tahu hanya ada satu jalan untuk kita mara iaitu kemenangan dengan Thailand.

“Dari segi keyakinan selepas kita menang ini, mungkin keyakinan pemain akan bertambah dan kita perlu betul bersedia dan fokus lawan Thailand nanti,” jelasnya.

Nafuzi juga percaya kejayaan membina serangan lebih tersusun dan penggunaan pemain sayap yang lebih fleksibel membuka ruang buat jentera serangan meledak tujuh gol.

“Paling penting pemain dapat menggunakan peluang yang ada untuk kita jadikan gol. Itu yang membezakan perlawanan kali ini,” ujarnya.

Harimau Muda kini bersedia untuk menguji kemampuan sebenar mereka dalam perlawanan hidup mati menentang Thailand, Selasa ini agar tidak pulang awal buat kali kedua seperti Piala ASEAN sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN