GEORGE TOWN: Kemenangan 3-0 ke atas Melaka FC di hadapan penyokong sendiri dalam saingan Piala FA kelmarin seakan mengubati ‘luka’ yang dialami Penang FC ketika ini selepas tewas dalam kesemua tiga perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya setakat ini.
Ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, selain meredakan tekanan, kemenangan itu juga menyuntik semangat pemain untuk terus menampilkan persembahan lebih meyakinkan dalam aksi seterusnya.
“Sebenarnya, dua atau tiga hari selepas perlawanan menentang JDT (Johor Darul Ta’zim), kami ada buat satu ‘bedah siasat’ yang besar (gara-gara tewas 0-6).
“Semua pihak khususnya pemain berjanji akan buktikan bahawa kita mampu keluar dari zaman kesusahan ini. Alhamdulillah, terbukti malam ini (kelmarin) kita mampu tewaskan Melaka hasil usaha keras pemain-pemain Penang FC. Semoga kemenangan ini akan menjadi titik bermulanya kebangkitan Penang FC musim ini, insya-Allah,” katanya selepas perlawanan.
Kemenangan 3-0 ke atas Melaka FC itu juga membolehkan Penang FC melangkah bergaya ke suku akhir dengan agregat 5-0 selepas memenangi aksi pertama di tempat lawan dengan 2-0.
Mengulas lanjut, Wan Rohaimi berkata, tempoh rehat yang panjang selepas ini akan digunakan dengan sebaiknya untuk memperbaiki persembahan Penang FC dalam saingan Liga Super memandangkan skuad Harimau Kumbang kini menghuni tangga tercorot dengan satu mata selepas mengharungi lima perlawanan.
“Sekarang, kita cuma perlu pandang ke depan dan insya-Allah, Penang FC akan pergi lebih jauh selepas ini,” katanya.
Sementara itu, pengendali Melaka FC, K. Devan menganggap jaringan awal Penang FC pada minit ke-11 ‘membunuh’ harapan para pemainnya untuk bangkit merapatkan kedudukan selepas tewas dalam aksi pertama di tempat sendiri tempoh hari.
Jelas jurulatih berpengalaman itu, percaturan dengan menukar beberapa posisi utama pemain juga menyumbang kepada prestasi pasukan yang agak menurun dalam perlawanan berkenaan.
“Sekarang, fokus kita hanya ke arah Liga Super dan kita kena pastikan bahawa kesebelasan utama kita nanti bebas daripada sebarang kecederaan jika enggan dibelenggu lebih banyak masalah selepas ini,” ujar beliau. – UTUSAN










