PETALING JAYA: Kualiti permainan yang dimiliki beregu No. 4 dunia, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian diakui M. Thinaah menjadi punca kekalahan mereka pada separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong, semalam.
Thinaah berkata, cara beregu handalan China itu menyusun atur pukulan meletakkan dia dan pasangannya, Pearly Tan dalam situasi sukar terutama ketika lawan melancarkan serangan.
“Kami pula cenderung dengan corak permainan bertahan dan sewaktu mereka menyerang, kami dapat merasakan tekanan kerana lawan cukup agresif.
“Jadi, saya berpendapat kami perlu melakukan sesuatu dan penting untuk berwaspada dengan taktikal sedemikian,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir, semalam.
Pearly-Thinaah yang menghuni ranking No. 2 dunia tewas kepada Yi Fan-Shu Xian 14-21, 11-21 dalam masa 35 minit pada separuh akhir di Hong Kong Coliseum.
Kekalahan tersebut juga menyaksikan beregu wanita No. 1 Malaysia itu gagal mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu.
Mengulas lanjut, Thinaah berkata, bermain di Hong Kong, mengingatkannya seperti beraksi di laman sendiri kerana sokongan yang diberikan peminat di negara itu.
“Ini penampilan ketiga kami di sini, jadi, banyak kenangan manis yang tercipta dan juga banyak perkara positif yang berlaku, tetapi, perjuangan kami belum berakhir kerana minggu depan, masih ada pertandingan menanti.
“Untuk aksi minggu depan, kami akan berbincang dan berharap dapat kembali dengan kualiti permainan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Pearly berkata, daripada sudut mental, dia berasakan sikap terburu-buru sewaktu mendahului permainan dalam set pertama telah memerangkap mereka.
“Kami lupa kepada perancangan asal kami dan fokus kami juga sedikit terganggu sehingga beberapa kesilapan mudah dilakukan serta terlalu terikut-ikut rentak lawan,” katanya. – UTUSAN










