KONYA: Sepanyol membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila membelasah Turkiye 6-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 untuk menduduki tangga teratas Kumpulan E.
Mikel Merino meledak hatrik dalam perlawanan itu, manakala pemain Barcelona, Pedri Gonzalez menjaringkan dua gol dan Ferran Torres turut meledak untuk skuad kendalian Luis de la Fuente.
Selepas menang selesa 3-0 ke atas Bulgaria pada Khamis lalu, jurulatih itu berjanji pasukan yang menjuarai Euro 2024 mempunyai tahap lebih tinggi untuk dicapai dan mereka membuktikannya di Konya.
“Kami tahu kami perlu bermula dengan kuat sejak awal dan itulah yang kami lakukan, menguasai permainan. Saya rasa pasukan berjaya mengekalkan intensiti itu hingga ke hujung perlawanan dan keputusan ini mencerminkannya,” katanya.
Ada yang menyifatkan perlawanan itu sebagai pertarungan antara bintang muda Barcelona dan Sepanyol, Lamine Yamal dengan pemain tengah Real Madrid dan Turkiye, Arda Guler, namun jurang kualiti antara kedua-dua pasukan terlalu besar.
Pedri membuka tirai jaringan pada minit keenam dengan rembatan kemas dari luar kotak penalti ketika Sepanyol memulakan aksi dengan pantas.
Pemain Arsenal, Merino menjaringkan gol pertamanya menerusi tendangan kencang selepas gerakan pasukan yang mantap ketika Sepanyol merobek pertahanan Turkiye dengan hantaran pantas dan tajam.
Pemain sayap Athletic Bilbao, Nico Williams dikeluarkan sebelum rehat akibat kecederaan paha yang menjadi satu-satunya nota negatif buat Sepanyol.
Merino menjaringkan gol keduanya pada masa kecederaan separuh masa pertama selepas menerima hantaran Mikel Oyarzabal, yang mencatatkan tiga bantuan gol.
Pemain lincah berusia 18 tahun, Yamal, melorongkan bola kepada rakan sepasukan di Barcelona, Torres untuk gol keempat Sepanyol pada minit ke-53 sebelum mengumpan kepada Merino yang meledak rembatan lencong dari jarak jauh untuk melengkapkan hatriknya.
“Saya amat gembira dengan kemenangan ini, meraih enam mata, melakukannya dengan cara sebegini dan menjaringkan tiga gol yang luar biasa, ini hatrik pertama dalam karier saya,” kata Merino.- AGENSI/UTUSAN










