LONDON: Aksi longlai barisan pemain Manchester City ketika tumbang 1-2 kepada Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) mengundang kemarahan Pep Guardiola.
Biarpun mendahuli menerusi Erling Haaland, City goyah pada babak kedua yang menyaksikan Brighton bangkit menerusi gol penalti James Milner dan jaringan menarik Brajan Gruda.
“Kami bolos dan selepas itu momentum berubah. Sebelum itu, kami bermain dengan baik, mencipta peluang dan pasukan kelihatan agresif serta dinamik.
“Kami bermain baik selama sejam, tetapi baki 30 minit terakhir kami tidak bagus. Kami lupa untuk bermain hantaran pendek, hanya bermain bola jauh dan itu tidak cukup bagus.
“Itulah hakikatnya, para pemain kena waspada pada hujung perlawanan dan situasi ini jelas menghukum kami. Kekalahan ini akan menjadi pengejaran berguna,” kata Guardiola
Guardiola menurunkan pemain tengah, Rodri selama 90 minit penuh tetapi mengakui perubahan besar dalam skuad sejak musim lalu menyebabkan tempoh adaptasi diperlukan.
“Kami ada skuad yang sangat baik dan sudah tentu banyak perkara berubah dari sebelum ini ke sekarang, itu normal. Kami perlukan pemain baharu menyesuaikan diri dan pemain lama membantu mereka untuk serasi.
“Rodri beraksi dengan cemerlang dan dia seorang watak hebat. Saya gembira dia bermain 90 minit,” kata jurulatih Sepanyol itu.
City kini berdepan dua kekalahan berturut-turut selepas tewas kepada Tottenham Hotspur dalam aksi liga sebelum ini, namun Guardiola menegaskan perebutan gelaran masih jauh.
“Musim baru sahaja bermula. Masih panjang perjalanan musim ini. Kita lihat apa yang akan berlaku,” katanya.
Selepas rehat antarabangsa, City akan menanti kunjungan seteru setempat, Manchester United sebelum bertandang ke Arsenal. – AGENSI/UTUSAN










