PETALING JAYA: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) membuat taruhan berani dengan menghantar dua penerjun muda, Nur Eilisha Rania Abrar Raj, 20, dan Nurul Farisya Alia Affendi, 16, ke Kejohanan Akuatik Asia di India hujung bulan ini sebagai ujian getir sebelum Sukan SEA Thailand 2025.
Pasangan terjun seirama wanita itu dianggap prospek baharu untuk menggalas legasi gandingan berpengalaman dalam acara platform, Nur Dhabitah Sabri dan Datuk Pandelela Rinong, selepas mempamerkan peningkatan meyakinkan dalam siri kejohanan remaja sebelum ini.
Pengarah teknikal terjun MAS, Yeoh Ken Nee menegaskan Kejohanan Asia bakal menjadi medan penilaian sebenar buat Eilisha dan Farisya sebelum diberi tanggungjawab lebih besar di temasya dwitahunan itu.
“Mereka perlu lalui cabaran Asia dulu kerana di situ kita dapat lihat sejauh mana kemampuan mereka menyaingi penerjun berpengalaman sebelum ke Bangkok.
“Kami mahu mereka bukan sekadar menimba pengalaman, tetapi juga menguji diri dengan sasaran memburu pingat pertama bersama-sama dalam karier seirama,” kata Ken Nee kepada Utusan Malaysia.
Selain Eilisha-Farisya, skuad negara turut dibarisi tiga penerjun lelaki iaitu Muhammad Syafiq Puteh, Elvis Priestly Clement dan Bertrand Rhodict Lises ke Ahmedabad.
Dalam pada itu, Ken Nee berkata, persiapan skuad kini bermula dengan Kejohanan Terjun Kumpulan Umur (MIAG) ke-60 yang berakhir minggu lalu sebelum fokus penuh diberikan kepada cabaran di India pada 28 September hingga 1 Oktober ini.
Untuk rekod, Eilisha sebelum ini tersenarai ke Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun manakala Farisya membarisi skuad ke Brazil bagi Kejohanan Akuatik Dunia Remaja pada tahun lalu.
Terbuka Malaysia akan berlangsung pada 31 Oktober hingga 1 November ini menjadi persiapan terakhir kem terjun negara menjelang Sukan SEA Thailand yang membuka tirai pada 9 Disember ini. – UTUSAN










